Pages

Tuesday 30 April 2013

CUKUPLAH ALLAH BAGIKU

Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.


Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.


Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Mus’ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? 
Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.


Apa lagi, lemahlah si ibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi,
Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah.

 Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:
“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di
tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu
semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.


Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12 orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi(Perjanjian A’qabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi(Perjanjian A’qabah 2).Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan
kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.


Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang bendera-bendera Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.


Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.
Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al- Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:


Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan
kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang
pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah.
Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat.


Wednesday 24 April 2013

TEKANLAH SUIS 'BERHENTI', BERSANGKA BAIK DI HATI, DAN HANYA KEBAIKAN YANG KITA BERI


Sabda Rasulullah s.a.w, "Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai." (Sahih Muslim)

Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh. 

Akar itu seperti hati.


Pernah kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.

Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.

Namun, jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadarnya, kita terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Bagaimana pula jika ujian itu datang dari makhluk, yang kita mampu pula untuk membalasnya.

"Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,"

"Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,"

Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar menafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.

Bukankah kejujuran itu sesuatu yang mesti dan selalu tanpa kompromi, sehingga baginda Rasulullah s.a.w apabila bergurau konsisten dalam benar dan jujur? 

Tekan suis 'berhenti'

Tekanlah suis berhenti, dan berfikir sejenak apakah yang perlu kita lakukan. Kawal bicara dalam diri, supaya sentiasa berbaik sangka. Mulakan baik sangka itu dengan Allah, atas segala perancangan dan ketetapan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya.

Sebuah kereta dengan laju memotong kenderaan kita dari sebelah kiri. Spontan kaki menekan pedal brek kereta.

Tekan suis berhenti, dan fikirkan akibat jika kita melayan perasaan amarah kita itu. Kita mungkin menyumpah, sakit hati dan gelisah atau mungkin memilih untuk mengejar kereta itu dan membalas perbuatannya. Fikirkan, mungkin akan berlaku pergaduhan, keganasan, pertelingkahan lantas mengakibatkan dendam yang memudaratkan.

Bayangkan jika kita memilih untuk terus mengejar kereta itu, dan kereta itu laju membelok masuk ke sebuah hospital. Kemudian kita melihat pemandu itu keluar kereta dalam keadaan tergesa-gesa menggendong anaknya yang sedang berlumuran darah dengan wajah yang kesakitan.

Persepsi kita terus berubah, dan pantas pula kita meletakkan diri kita pada situasinya.

Alangkah indah, jika pada mulanya kita memilih untuk bersangka baik dan memaafkan.

Persepsi 'tidak berbaloi'

"Tak berbaloi ustaz, kita beri baik, sebaliknya yang kita dapat,"

"Entahlah ustaz, kadang-kadang rasa penat buat baik,"

Sebelum, semasa dan selepas buat baik, pastikan selalu bahawa kita sentiasa berada dalam keikhlasan. Orang yang buat baik tanpa ikhlas, amalannya tidak diterima di sisi Allah, dan amalan yang tidak diterima-Nya walaupun amalan itu zahirnya nampak baik, tetap juga tidak baik kerana batinnya rosak.

Keikhlasan ialah melakukan amalan tanpa mengharapkan balasan dan sebagai seorang hamba Allah, kita mengharapkan Allah menilai amalan itu sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Ini asas untuk melakukan kebaikan iaitu membetulkan cara pandang kita pada ketetapan Allah.

Betulkan keyakinan bahawa Allah pasti membalas kebaikan, kerana itu janji-Nya yang kadang-kadang bukan langsung kepada kita tetapi barangkali kepada orang-orang yang kita sayang. Bahkan, jika bukan di dunia pasti akan menyusul di Akhirat. 

Bukankah berbaloi-baloi!

Paksikan pada hati, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dilayan ketika baginda berdakwah di Taif. Bayangkan darah yang tumpah, kesakitan yang baginda hadapi sehingga Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Bahkan begini jawab baginda Rasulullah s.a.w, "Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Nah, jika sekarang kita menerima layanan yang bertentangan dengan kebaikan yang kita berikan, tekanlah suis 'berhenti', fikirkan akibat, bersangka baik (positif), paksikan cinta Nabi s.a.w, dan tentukan reaksi.

Ajaib, kerana sekarang kita semakin mudah tersenyum, tenang hati, dan hanya kebaikan yang kita beri! 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...