Pages

Wednesday 27 November 2013

KEMANA KITA BISA LARI...

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !
Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai si polan yang dikasihi. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangunkan kita daripada angan-angan yang panjang mengenai nikmat hidup yang tak bererti tanpa sifat berkekalan. Dunia adalah permainan dan kehidupan sebenarnya bermula di akhirat, konsep percaya kepada alam barzakh iaitu hari kebangkitan yang mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan.

Mustahil bagi manusia mengetahui empat hal ghaib, kelahiran dan kematian; rezeki; amal dan kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia yang termeteri di luh mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas.

Penerokaan akalnya tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen akal, jasmani dan rohani terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta memandangkan adalah dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat.
Kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara, begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini.

Rasulullah saw juga ada berpesan kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ini ialah mengingati mati. Amalan itu bukanlah bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan, lebih-lebih lagi Islam menyeru umatnya supaya membangunkan akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan kebaikan itu meliputi kesemuanya.

Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah itulah yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Oleh demikian, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada biji benih kurma, maka hendaklah dia menanamkannya.” (Riwayat Ahmad).

Sehubungan itu, Baginda memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dianggap oleh Rasulullah sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk mengadap Allah selepas mati.

“Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Riwayat Tirmizi).

Dalam satu hadis lain, Rasulullah menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan mengingati mati sebagaimana berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan.

“Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Mafhum yang tersurat dan tersirat daripada dua hadis itu jelas menyimpulkan bahawa fitnah dunia ini iaitu daripada isteri, anak pinak, harta, pangkat, keturunan dan sebagainya selalu mengabui pemikiran dan pandangan hidup manusia, di samping sentiasa melalaikan dan melekakan manusia daripada matlamat hidup sebenarnya.

Oleh sebab itulah, Rasulullah sentiasa menganjurkan umatnya supaya selalu mengingati mati kerana amalan itu akan membuatkan manusia sedar bahawa pesona atau fitnah dunia yang menghiasi alam ini hanyalah permainan dan gurauan senda bersifat sementara.

Ini bermakna, harta yang dicari akan hilang atau habis juga akhirnya. Anak dan isteri akan ditinggalkan juga apabila maut datang menjemput seseorang manusia. Pangkat dan keturunan pula akan luput ditelan bumi.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam yang bermaksud: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan liar durjana). Akan tetapi, Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

“Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi Maha Melihat dengan nyata.” (Surah asy-Syura, ayat 27).

Dengan mengingati mati, seseorang Muslim akan sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari bahawa Allah Maha Memerhati dan Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada waktu terang-terang atau sunyi.

Dengan mengingati mati juga akan mengurangkan panjang angan-angannya, menjauhkannya dari fitnah dunia yang mempesona dan membersihkan hatinya daripada terpalit dengan sifat sombong dan tamak.

Seterusnya, mengingati mati akan menjadikan seseorang Muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas. Mereka memiliki semangat waja dan beristiqamah dalam menelusuri titian hidup yang penuh pancaroba dan hatinya akan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah.

Apa yang diimpikan dalam dasar jiwa seseorang yang beriman kepada Allah melalui amalan mengingati mati ini ialah mengharapkan agar apa yang dijanjikan Allah kepada orang beriman iaitu keredaan Ilahi dan kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.

Perlu diinsafi bahawa jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk.

Malah maut tidak akan terlewat atau cepat daripada ketentuan ditetapkan oleh Allah di Loh Mahfuz.

Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui Allah sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat mengenai hari kiamat.

“Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya mengenai apa yang terkandung dalam rahim (ibu yang mengandung).

“Dia tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Lukman, ayat 34).

Justeru, setiap insan sewajarnya menginsafi diri bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan apabila sampai masanya nanti, setiap individu akan dipanggil menghadap Allah.

Alangkah beruntungnya insan beriman dan bersiap sedia menghadapi hari kematian dengan amal soleh dan ketakwaan kepada Allah.

Sebaliknya, rugi dan malangnya orang yang mengingkari kepastian hari akhirat dan tidak beriman kepada Allah, yang tiada lagi peluang kali kedua atau seterusnya untuk kembali ke dunia.
Kehidupan di dunia hanya sekali bagi setiap insan dan kehidupan yang sebenarnya kekal abadi ialah kehidupan pada alam akhirat nanti


Monday 11 November 2013

HATI YANG HIDUP

Manusia itu fitrahnya inginkan sebuah kebebasan...

Sedarlah..hanya meletakkan Allah nombor SATU dalam hidup, kita bebas daripada segala bentuk penghambaan kecuali kepada Allah yang menciptakan.

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kecelakaan dan ketaqwaan."
                                                                                                                                                         (As-Syams : 8)
 
Tiada yang terindah dalam hidup ini jika kita benar-benar berada dalam kesyumulan Islam.

Keindahan yang membahagiakan itu tentulah apabila kita berada sepenuhnya dalam cara hidup Islam melalui semua sistem kehidupan, tanpa dipisah-pisah dan dijuzuk-juzukkan.

Apabila seseorang itu sujud, dia tidak hanya perlu menjaga rukun-rukun sujudnya semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah kesan sujud itu, rasa kehambaan dan rendah hati yang wujud apabila sujud itu dilakukan. Begitu juga dengan Takbiratul Ihram, bukan saja pergerakan dan lafaznya sahaja, tetapi yang lebih penting ialah rasa takut, tunduk dan patuh kepada Allah itu timbul dan terus menerus terbit dalam hati.
Selalu merasakan bahawa diri kita ini bersalah, banyak dosa dan khilaf dengan Allah. Lantas akan mengingatkan kita kepada sunnah Rasulullah yang belum cukup kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari. Rasa bersalah dan berdosa ini penting supaya hati kita dipenuhi dengan rasa ingin kembali (rajak) kepada-Nya, bertaubat dan memohon pengampunan dari-Nya.

Diri yang selalu rasa bersalah ini akan terus berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa, menemui ketenangan dalam usahanya meraih rahmat dan kasih sayang Allah. Rasa bersalah ini akan membuatkan kita terus tegar menyelak lembar-lembar seerah baginda s.a.w supaya setiap apa yang baginda lakukan akan sentiasa hidup dalam hati, lisan dan perbuatan.

Diri yang bersalah ini akan sentiasa berasa rendah hati dan tawaduk, sentiasa memandang orang lain lebih mulia daripadanya, tidak memandang buruk orang yang melakukan dosa dan tidak menafikan hak orang lain untuk bertaubat. Orang yang rasa bersalah ini akan sentiasa memaafkan, hatinya lapang dan bertasamuh.

Rasa bersalah ini perlu disertai dengan proses taubat, zikir dan fikir akan kebesaran-Nya, supaya rasa ini tidak pula membelenggu hati sehingga menyebabkan kemurungan dan menyendiri.

Buktikan cinta dengan rasa bersalah, kerana rasa inilah rasa 'ubudiyyah, terbit dari rasa kita sebagai seorang hamba, lantas kita akan memperkasa ibadah, ilmu dan amal.
Niat adalah aspek 'dalaman' atau batin dalam diri kita. Tanpa niat, ia ibarat jemari yang tiada ibu jari. Sukar untuk kita menggenggam 'pahala' dalam segenap perbuatan kita.

ATAU

Mungkin zahirnya kita kelihatan menggenggam, tetapi genggaman kita tidak sempurna kerana kita hanya menggenggam 'luaran' atau zahirnya sahaja. Kita ibarat seseorang yang berjalan dalam tidur, bermimpi dan mengelamun. Orang yang hidup tanpa sedar.
 

 Dalam hidup ini tanpa niat yang betul, walaupun genggaman zahirnya kita berjaya (dunia, kehormatan, pangkat) tetapi hakikatnya kita gagal menggenggam batinnya (pahala, jariah, Akhirat). Kita hanya menjadi pemimpi dalam lena yang enak. Kita perlukan niat, barulah genggaman yang zahir akan menjadi lebih bermakna.

Niat mengejutkan kita dari terus menjadi pemimpi.
Bangkanglah nafsu, maka hati kita akan terpandu!!!

Amalkan sunnah dan tadabburlah wahyu, kerana itulah tanda kalbu yang penuh rindu....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...