Pages

Wednesday, 27 June 2012

REDHAMU KU PINTA

"Nasib baik, kalau aku ikut tentu aku yang kena."

"Aku hanya dilambatkan seminit, kalau tak nahas. Nasib baik."

Mungkin kita biasa dengar dialog-dialog di atas dituturkan oleh sahabat, kerabat malah diri sendiri apabila berhadapan situasi di'selamat'kan daripada sesuatu. Lalu kita bersyukur dengan kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Namun, apabila kita menyangka bahawa 'yang selamat' itu bernasib baik, apakah yang 'tidak selamat' itu pula bernasib buruk?

Sabda Rasulullah S.A.W: Janganlah seseorang kamu meminta mati kerana bala yang diturunkan kepadanya, sebaliknya hendaklah dia berdoa: Wahai Tuhanku , hidupkanlah aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku.

Semua ini termasuk dalam qadha dan qadar atau ketetapan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Ini bermakna, apa sahaja yang datang dari Allah, tentulah itu yang terbaik walaupun tidak baik pada pandangan kita, kerana Dia Maha Mengetahui. Sesungguhnya kita tidak tahu cara Allah ingin memberi kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, malah apa yang kita rasa baik belum tentu baik juga pada pandangan Allah, malah boleh menjadi satu ujian bahkan bahana dalam kehidupan kita menuju Akhirat.

Ingatlah JANJI Allah dan janganlah berputus asa terhadap-NYA.Sesungguhnya DIA yang lebih mengetahui apa yang terbaik bagimu.                                
                                                                                                                                                                      
Cuba kita renung, apabila kita ber'nasib baik' pada hari ini, apakah pada hari esok dan hari-hari seterusnya kita akan tetap ber'nasib baik' juga? Dan apakah yang kita sangka 'nasib baik' hari ini merupakan kebaikan pada hari-hari akan datang juga, atau menjadi suatu keburukan pula?

Aduh, sangat sukar menebak dan menjangka hakikat kebaikan ini bukan?

Menerjemah Kebaikan

Sangat sukar dengan akal yang terbatas untuk kita menerjemah kebaikan di atas apa yang terjadi dalam kehidupan ini. Seperti firman Allah s.w.t :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)


Senang benar kita 'terperangkap' dengan kebaikan yang dilihat melalui sudut pandang sendiri. Kita lebih memilih sihat dari sakit, senang dari susah atau kaya dari miskin. Sedangkan kita tidak tahu apakah itu sebenar-benar kebaikan di sisi-Nya?

Di atas akal yang terbatas dan tidak mampu meramal ini, maka Allah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menanam serta menuai akidah dan iman dalam hati kita. Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w menanam kepercayaan dan keimanan ini dalam hati para sahabat sehingga mereka menjadi hamba Allah yang benar-benar berkualiti dengan sikap - dengar dan taat, tanpa banyak soal dan mempersoal.

Sabar, senyum dan syukur

Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.

"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa." (Riwayat Bukhari)

Susurilah hari-hari kita walau hati diipuk sedih, kerana itu fitrah manusia. Namun, zahirkan senyuman dan selitkan di hati di celah-celah kesedihan itu rasa bangga dan syukur, kerana kita sebenarnya telah dipilih Allah untuk menerima kebaikan.

"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)." (Riwayat Bukhari)


Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya. 


Sebagai renungan buat kita sebagai hamba yang tidak putus dan tidak lari dari membuat khilaf dan melakukan dosa tetapi syurga didambakan,sebagaimana firman Allah:
`yJsùr& tb%x. $YZÏB÷sãB `yJx. šc%x. $Z)Å™$sù 4 žw tb¼âqtFó¡o„ ÇÊÑÈ
Apakah orang-orang yang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik???                          Mereka TIDAK SAMA.                                      
                                                                                                                 (As-Sajdah:18)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.





Friday, 1 June 2012

MENGHADAP HARI ESOK



Pernahkah terlintas di benak kita bahawa kitalah pelakon yang sedang beraksi di pentas dunia ini? Kita menangis ,ketawa ,gembira ,berduka , tenang dan gelisah sehingga tiba saatnya ,kita menjadi kaku tanpa apa-apa aksi. Selagi kita bernafas ,kita terus berlari dan merencahi perjalanan dengan segala watak yang kita sendiri menjadi penulis skrip ,pengarah ,penerbit serta pelakonnya.

Perkampungan dunia hanya sebuah persinggahan sebelum kembali ke daerah akhirat yang kekal abadi. Kita bercucuk tanam dengan bekal amalan untuk perjalanan jauh yang bakal diredahi liku ranjaunya. Dalam perjalanan itu ,kita ditujah ujian dari Yang Maha Pencipta sebagaitiket menginap di syurgaNYA yang kekal abadi. UjianNYA bersifat pelbagai. Ada susah ,ada senang ,ada derita ,ada kebagagiaan. Pelbagai rencah yang mengharungi kita setiap masa. Tuhan memberi kita dua panduan untuk dirujuki iaitu Al-Quran dan Sunnah. Hanya keduanya dapat memimpin kita menjadi pelakon yang mengikut skrip dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Pernahkah kita renungi ,bagaimanakah kehidupan kita diakhirat nanti? Tentula ia kehidupan yang kekal abadi kerana tiada lagi kematian selepas kematian di dunia. Terbayangkah kita episod yang bakal direntasi di alam barzakh iaitu sesi bersoal jawab dengan malaikat Mungkar dan Nangkir ,juga saat perhitungan amalan di Padang Mahsyar? Kita pasti akan melalui titian Siratul Mustaqim untuk menentukan sama ada kita tinggal di syurga atau neraka. Neraca Mizan menjadi perhitungan segala aksi dan babak yang kita lakonkan semasa di dunia.

Bagi penghuni neraka ,bersedialah untuk berdepan dengan penjaganya yang bengis dan tidak pernah tersenyum. Dia diciptakan oleh Allah dengan tidak ada perasaan belas kasihan dan simpati kepada sesiapa. Kepalanya memenuhi ruang langit manakala kakinya seluas isi bumi. Dialah yang benama Malik Zabaniah ,makhluk ciptaan Allah paling kasar dan buruk. Lintasnya menggerunkan api neraka kerana bahangnya lebih panas dan membara. Di dalam peristiwa Isra` Mikraj ,sewaktu Nabi melawat neraka ,saat Nabi memberi salam kepada Malik Zabaniah ,dia menjawab salam namun tiada ukiran senyuman diwajahnya. Melihatkan itui ,kata Jibril a.s. yang mengiringi Rasulullah s.a.w. , "Janganlah Baginda Rasul bersedih ,justeru dia tidak melemparkan senyuman kepada kamu ,kerana ia tidak pernah tersenyum semenjak Allah menciptakannya”.

Kita teruskanlah rentak lakonan di dunia selagi tidak dijemput pulang. Beruntunglah bagi mereka yang tekun mengerjakan amalan kebaikan dan merindui kehidupan akhirat . Mereka akan bertemu dua kekasih utama iaitu Allah dan Rasul. Mereka akan memadam segala sengsara dan derita yang dihujani ketika di dunia .Meraka akan tenggelam dalam lautan nikmat yang kekal abadi di akhirat. Mereka bahagia kerana menjadi pelakon yang taat dan patuh kepadaNYA.

Dan bagi insane yang alpa dan leka ,kehidupan akhirat ibarat sandiwara dan dunia menjadi syurga. Kehidupan diterkam dengan rakus dan bebas tiada batasan. Mereka merompak anugerah Allah dengan perbuatan maksiat dan perlakuan zalim. Malah ,mereka tidak malu mengaku diri lebih hebat daripada Tuhan Pencipta. Nah!Selamat bertemu dengan Malik Zabaniah yang bakal merungkai segala kesombongan dan kejahatan yang dilakonkan semasa hidup.

Renungilah masa depan kita yang belum pasti jalan penghujungnya. Keraplah mengalirkan air mata kerana selalu berbuat dosa sebelum terlambat. Setitik air mata di dunia kerana takut pada kemurkaan Tuhan lebih berharga daripada sekawah air mata di akhirat yang tidak memberi erti lagi. Hari esokmu yang masih ada ,semaikanlah dengan baja iman dan taqwa agar terjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Tuesday, 8 May 2012

MENANGISLAH WAHAI SAUDARAKU…

Tangisan adalah suatu fitrah bagi setiap makhluk bergelar manusia. Sejak dari awal kelahirannya, hinggalah ke akhir hayat setiap manusia, pasti tangisan akan menghiasi kamar hidupnya. Banyak punca yang menyebabkan air mata berlinangan namun berapa ramaikah dari kita yang tangisnya adalah kerana takutnya dia akan Allah S.W.T??? Berapa ramaikah dari kita yang menangis akibat menghitung setiap inci dosa dan noda yang telah kita lakukan???
Wahai saudaraku yang dikasihi, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firmanNYA :
“Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman“
                                                             (Surah Al-Imran:175) 
Wahai saudaraku, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolak bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janjiNYA yang berbunyi :
              “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga”
                                                                                              (Surah Ar-Rahman:46)
Seorang Khalifah yang agung di muka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratap akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah s.a.w. , para sahabat r.a. , para tabi`in dan tabi`tabi`in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah.

Rasulullah s.a.w. sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w. duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda “Apakah yang sedang mereka lakukan?” Salah seorang dari sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia.”

Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah s.a.w. menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).“ Begitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya???
Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita di dalam syurgaNYA dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran. Ubai Bin Ka`ab berkata, “Kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut seksaanNYA. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya”. Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada seksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin.

Hisablah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita??? Bilakah kali terakhir pipi dibasahi dengan linangan air mata keinsafan??? Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa.Insya Allah…..

 “Ketika kamu lahir, kamu menangis dan orang disekelilingmu tersenyum.
 Jalanilah kehidupanmu sehingga nanti, ketika kamu mati,
kamu tersenyum dan orang disekelilingmu menangis sedih”

Menangislah Wahai Saudaraku…

Sunday, 29 April 2012

PAUTAN PADA YANG ESA

Masihku ingat sebuah kata-kata yang mana barangkali cebisan yang kebiasaan,namun impaknya sungguh mendalam dalam menyinari kehidupan seharian.
Meskipun kita sedar atau sebaliknya,zaman berganti zaman..tahun berganti tahun..hari berganti hari..ingatlah kita ini hanyalah seorang insan, yang hidupnya dicipta..sentiasa perlu kepada pergantunggan.Hakikat pergantunggan itu sendiri adalah kelemahan.Tetapi ianya tidak bagi kita yang EGO!!SOMBONG!!BONGKAK!!.
Sedarkah kita??Betapa jauhnya kita dari-NYA??

Marilah kita letak diri kita yang terbawah..berilah kerendahan qalbumu serendah-rendahnya..beri jua ruang untuk hatimu buat seketika dalam menemukan sebuah PAUTAN  yang eratnya sebuah ketenangan.

“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak ada pendakwah, maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan.”
(Imam Hassan Al-Basri)

Perjalanan kehidupan yang memerihkan membuatkan kita seringkali lupa.Dalam kekalutan dunia sekarang,masing-masing sibuk mengejar harta,pangkat,nama,kereta dan segala kemewahan dan kenikmatan yang ada.Berlumba-lumbalah dalam kemewahan hingga terlupa segalanya.Semakin hari kita semakin melupai Allah Ta`ala..semakin banyak melakukan dosa..semakin jauh dari PENCIPTA..nauzubillah minzalik.

Renungilah sebuah hadith Qudsi,dimana Rasulullah SAW ada bersabda:

Allah SWT berfirman, “Aku sesuai dengan dugaan hambaKU kepadaKU dan Aku bersama dengannya ketika dia ingat kepada KU. Jika dia ingat kepadaKU dalam hatinya, Aku pun akan mengingatinya dalam hatiKU. Dan jika dia ingat kepadaKU dalam linkungan khalayak ramai, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam linkungan khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika dia mendekatiKU sejengkal, Aku pun akan mendekatinya sehasta.Dan jika dia mendekatiKU sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepadaKU berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berlari.”
(HQR Syaikhani dan Tirmizi dari Abu Hurairah R.A.)
Manusia kadang-kala mengalami perasaan sedih, kecewa, marah, gembira, bahagia, takut dan sebagainya yang boleh mengubah tindakan seseorang itu daripada perlakuan biasa seseorang manusia. Juga daripada pemikiran yang waras kepada perlakuan atau akhlak yang tidak dituntut dalam ajaran Islam. Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana adanya konsep tawakal atau berserah dan pengharapan kita kepadaNya dalam setiap apa yang kita kerjakan contohnya  apabila kita sedang memandu kenderaan, ketika kita hendak tidur, ketika kita menyiapkan tugasan dan sebagainya. Apabila kita berdoa, kita seolah-olah telah membina satu jambatan untuk kita sampaikan keingingan atau sesuatu yang kita hajatkan kepada Tuhan.

Sebagai seorang khalifah yang terpaksa memikul amanah yang besar iaitu untuk belajar dan mencari ilmu di sebuah madrasah kehidupan ini sememangnya menguji kekuatan dan ketahanan kita dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Kita bukan sahaja sekadar pengutip mahupun penimba ilmu tetapi juga berperanan dalam menjadi seorang da’ie atau pendakwah Islam yang menyeru kepada Allah SWT. Segala gerak kerja yang kita lakukan ini, perlulah selari dengan pengharapan kita kepada Allah SWT kerana kita merupakan hamba yang mahukan setiap perbuatan kita  mendapat keredhaan dan keberkatanNya.

Doa seseorang hamba  yang bersungguh-sungguh dan ikhlas akan menjadi penghubung kepada seseorang dengan penciptanya. Doa yang kita pohon mestilah sesuatu yang baik  seperti dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Maka di antara manusia ada yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia’. Dan tiadalah baginya kebahagian di akhirat. Dan di antara mereka ada yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah  kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.’ Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Al-Baqarah: 200-202)   

 Janganlah kita bersedih jika sesuatu yang kita mohon atau hajatkan kepada Allah SWT tidak dimakbulkan kerana semua yang berlaku itu mungkin ada hikmah di sebaliknya dan Allah ingin menguji hamba-hambaNya supaya terus istiqamah untuk berdoa kepadaNya. Malahan Nabi Zakaria  sendiri pernah diuji di mana baginda tidak dikurniakan anak disebabkan isteri baginda tidak dapat melahirkan anak. Walaupun begitu, baginda tidak putus harapan sehinggalah usia baginda sudah lanjut dan memohon doa serta pengharapan kepada Allah supaya dikurniakan anak. Akhirnya doa Nabi Zakaria dimakbulkan dan dikurniakan serang anak lelaki yang bernama Yahya seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran. Semoga segala sesuatu yang kita lakukan dan disertakan dengan doa akan dipermudahkan serta mendapat keredhaan daripada Allah SWT. 


Begitulah besarnya kasih sayang Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang pada kita setiap hamba ciptaan-NYA.Andai terasa diri sudah jauh tersasar..marilah kita berundur dan kembali kepada ISLAM yang sebenar.Kembalilah hati untuk sentiasa berzikir mengingati Allah tuhan sekalian alam.Kembalilah diri pada Allah Ta`ala yang tidak pernah jemu mendengar segala rintihan setiap hamba-NYA.Ingatlah sebesar-besar kemurkaan Allah itu..lebih besar lagi rahmat dan kasih sayang-NYA.Hitunglah seluas mana dunia Allah ini,nescaya ia tidak terhitung..serlagi mana hatimu, doamu, rintihanmu, ingatanmu dan jua pautan hatimu haya pada Illahi..selagi itulah pintu taubat itu terbentang luas. Sesungguhnya rahmat Allah itu mendahului segala-galanya.InsyaAllah.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...