Pages

Wednesday, 24 April 2013

TEKANLAH SUIS 'BERHENTI', BERSANGKA BAIK DI HATI, DAN HANYA KEBAIKAN YANG KITA BERI


Sabda Rasulullah s.a.w, "Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai." (Sahih Muslim)

Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh. 

Akar itu seperti hati.


Pernah kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.

Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.

Namun, jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadarnya, kita terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Bagaimana pula jika ujian itu datang dari makhluk, yang kita mampu pula untuk membalasnya.

"Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,"

"Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,"

Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar menafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.

Bukankah kejujuran itu sesuatu yang mesti dan selalu tanpa kompromi, sehingga baginda Rasulullah s.a.w apabila bergurau konsisten dalam benar dan jujur? 

Tekan suis 'berhenti'

Tekanlah suis berhenti, dan berfikir sejenak apakah yang perlu kita lakukan. Kawal bicara dalam diri, supaya sentiasa berbaik sangka. Mulakan baik sangka itu dengan Allah, atas segala perancangan dan ketetapan-Nya kepada kita hamba-hamba-Nya.

Sebuah kereta dengan laju memotong kenderaan kita dari sebelah kiri. Spontan kaki menekan pedal brek kereta.

Tekan suis berhenti, dan fikirkan akibat jika kita melayan perasaan amarah kita itu. Kita mungkin menyumpah, sakit hati dan gelisah atau mungkin memilih untuk mengejar kereta itu dan membalas perbuatannya. Fikirkan, mungkin akan berlaku pergaduhan, keganasan, pertelingkahan lantas mengakibatkan dendam yang memudaratkan.

Bayangkan jika kita memilih untuk terus mengejar kereta itu, dan kereta itu laju membelok masuk ke sebuah hospital. Kemudian kita melihat pemandu itu keluar kereta dalam keadaan tergesa-gesa menggendong anaknya yang sedang berlumuran darah dengan wajah yang kesakitan.

Persepsi kita terus berubah, dan pantas pula kita meletakkan diri kita pada situasinya.

Alangkah indah, jika pada mulanya kita memilih untuk bersangka baik dan memaafkan.

Persepsi 'tidak berbaloi'

"Tak berbaloi ustaz, kita beri baik, sebaliknya yang kita dapat,"

"Entahlah ustaz, kadang-kadang rasa penat buat baik,"

Sebelum, semasa dan selepas buat baik, pastikan selalu bahawa kita sentiasa berada dalam keikhlasan. Orang yang buat baik tanpa ikhlas, amalannya tidak diterima di sisi Allah, dan amalan yang tidak diterima-Nya walaupun amalan itu zahirnya nampak baik, tetap juga tidak baik kerana batinnya rosak.

Keikhlasan ialah melakukan amalan tanpa mengharapkan balasan dan sebagai seorang hamba Allah, kita mengharapkan Allah menilai amalan itu sebagai sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Ini asas untuk melakukan kebaikan iaitu membetulkan cara pandang kita pada ketetapan Allah.

Betulkan keyakinan bahawa Allah pasti membalas kebaikan, kerana itu janji-Nya yang kadang-kadang bukan langsung kepada kita tetapi barangkali kepada orang-orang yang kita sayang. Bahkan, jika bukan di dunia pasti akan menyusul di Akhirat. 

Bukankah berbaloi-baloi!

Paksikan pada hati, bagaimana baginda Rasulullah s.a.w dilayan ketika baginda berdakwah di Taif. Bayangkan darah yang tumpah, kesakitan yang baginda hadapi sehingga Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Bahkan begini jawab baginda Rasulullah s.a.w, "Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Nah, jika sekarang kita menerima layanan yang bertentangan dengan kebaikan yang kita berikan, tekanlah suis 'berhenti', fikirkan akibat, bersangka baik (positif), paksikan cinta Nabi s.a.w, dan tentukan reaksi.

Ajaib, kerana sekarang kita semakin mudah tersenyum, tenang hati, dan hanya kebaikan yang kita beri! 

Monday, 11 March 2013

SETIAP DETIK TERINGATKAN DIKAU

Rasa ingin bersahabat itu adalah satu lumrah dalam diri setiap insan...merasa ingin mengasihi dan dikasihi dalam bersahabat adalah satu kepastian kerana kita di dunia ini tidak keseorangan... tetapi adakah persahabatan dan ukhuwah itu disandarkan pada Dia yang punya segalanya atau….
sekadar mengikut nafsu yang menguasai diri??
adakah bersahabat hingga ke syurga itu hanya sekadar fantasi??
menitis air mataku
hilangnya sahabat sejati
yang riang dikau ku merindu
persahabatan abadi

setiap detik teringatkan dikau
walaupun kau pergi membawa diri
kasih sayang kita tidak terjangkau
ditemukan impian yang murni

Faktor yang dapat menambah keakraban ukhuwah dan persahabatan ialah bagaimana kita menemukan persamaan perasaan, kesenangan, kefahaman dan idea. Di antara faktor lain yang dapat menambah keakraban ukhuwah seterusnya memeliharanya dari hancur adalah kemampuan kita untuk menyesuaikan diri dengan beberapa kebiasaan (yang harus) bagi seorang sahabat, memiliki sikap mudah membantu bahkan suka membantu. Inilah ciri-ciri sahabat ahli syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Mahukah aku tunjukkan kepadamu semua tentang orang yang diharamkan masuk neraka atau tidak akan dimasukkan ke dalamnya? Iaitu seorang sahabat yang akrab, suka membantu, mudah melakukan."
Betapa bertuahnya mempunyai seorang sahabat yang berusaha mencukupi keperluan, baik secara spiritual ataupun material. Dia mengetahui keadaan dan keperluan sahabatnya, dan akan segera pula membantu serta meringankan bebannya. Dialah penyembuh duka dan penawar luka pada saat bagai berkejaran dengan masa, tanggungjawab bertambah dan dunia seperti menjadi pejal yang terpaksa dipikul di bahu. Dialah sahabat yang tidak pernah membuka aib, bahkan tidak pernah bercerita tentang keaiban diri sahabatnya. Perbuatan indah inilah merupakan suatu ibadah yang akan mendekatkan diri kepada Allah, dan menambah pahala yang besar di sisi-Nya. Bersahabatlah untuk mencapai keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Siapa yang mencukupi keperluan saudaranya, nescaya Allah mencukupi keperluannya. Siapa yang menolong seorang Muslim dari suatu kesusahan, nescaya Allah akan menolongnya dari salah satu kesusahan pada hari Kiamat. Siapa yang menutupi aib seorang Muslim, nescaya Allah menutupi aibnya pada hari Kiamat."

Pujian yang istimewa buat seorang sahabat Muslim adalah doa yang baik, yang ditujukan khas buatnya setelah dia membantu atau membuat kebaikan untuk kita. Doa-doa yang baik dilafazkan buat seorang sahabat dikategorikan sebagai pujian, iaitu pujian teristimewa yang memberi motivasi kepadanya untuk terus melakukan amal soleh dan kebajikan. Inilah juga faktor yang dapat menumbuhkan rasa kasih sayang dan ukhuwah fillah yang dikehendaki dalam Islam. Antara doa yang baik sebagai tanda terima kasih, dan melambangkan kecintaan kepadanya dan Pencipta, ialah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

"Barangsiapa yang memperoleh kebaikan daripada sahabatnya, lalu berkata : 'Jazakallahu Khairan' (semoga Allah memberimu balasan yang lebih baik), maka ia telah memujinya secara istimewa."

Berpada-padalah dengan kenikmatan dunia, supaya dengannya kita tidak akan leka dan alpa, supaya pada waktu susah dan senang, Allah sentiasa di ingatan. Berpada-padalah dengan segala gemerlap dan tarikan dunia, supaya sikap kita tidak akan berubah terhadap sahabat, akibat tertarik dengan pesona harta dan sering membanding diri dengan orang yang diberi kelebihan kenikmatan dunia. Maka, kitalah sahabat pada saat susah dan senang!

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Berzuhudlah dari kenikmatan dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan berzuhudlah dari apa-apa yang dimiliki oleh manusia, nescaya mereka mencintaimu."
Maafkan aku sahabat andai aku hanya tunduk diam menyepi...maafkan aku sahabat andai setiap tuturku hanya menambah duri di hatimu... maafkan aku sahabat andai aku tidak cukup sempurna untuk menjadi sahabatmu yang baik... maafkan aku sahabat andai aku bukan sahabat yang kau cari...

Aku hanya tahu untuk mengimpikan seorang sahabat sejati tetapi diri ini tidak cukup sejati dalam bersahabat... mengharap sahabat yang sentiasa memahami diri ini tetapi diri masih berburuk sangka dengan sahabat sendiri... mengejar sahabat yang sentiasa bersama di sisi tetapi keegoan masih beraja di dalam hati...

Andai aku tidak seperti menghargaimu, bukan bermaksud aku tidak sudi... bukan juga kerana kau tidak cukup baik untuk menjadi sahabatku... tetapi kerana aku tidak tahu bagaimana ingin mengekspresikan perasaan kasihku... tidak cukup kuat juga untuk melontarkan kalam sayang kepadamu walaupun aku tahu,

 "jika seseorang itu menyayangi sahabatnya, maka hendaklah dia memberitahu kepadanya bahawa dia menyayanginya" (riwayat Abu Daud)

... tetapi ketahuilah bahawa setiap saat aku bersamamu sahabat, aku terasa seperti semua bebanku melayang daripada bahuku...

Memang kadangkala Allah titipkan ujian dalam persahabatan ini...menguji agar kita kenal betapa manisnya dalam berukuwah...sesungguhnya takdir Allah yang mempertemukan kita dan takdir Allah jualah yang mampu memisahkan kita... perasaan cinta pada sahabat itu adalah kurniaan dari-Nya... perasaan manisnya berukhuwah itu juga adalah nikmat dari-Nya...
 Jadi mengapa perlu berputus asa dalam bersahabat andai engkau tahu ujian itulah yang akan mengeratkan lagi tali ukhuwah yang sudah sekian lama tersimpul??
Aku ingin mencari sahabat yang sudi bersamaku di syurga nanti...bersama mencari redha Ilahi... menegurku apabila aku berada jauh dari-Nya... menghulurkan tangan disaat aku jatuh tersungkur...menarik aku dikala aku hampir terjerumus ke lembah kedurjanaan...memelukku dan mengusap air mataku disaat aku berasa keseorangan...

Semoga bertemu dan berpisahnya kita adalah kerana-Nya kerana salah satu golongan yang dilindungi di bawah Arasy Allah di akhirat kelak adalah pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah... Ketahuilah bahawa  persahabatan itu adalah anugerah Allah yang terindah andai ia di atas dasar taqwa... 

Sabda Rasulullah S.A.W. :
 "teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar  kata-katanya menambahkan ilmu agama dan melihat gerak-gerinya  teringat mati"
... aku ingin menjadi sahabat seperti itu, ya Allah...

Sahabat! Andai suatu masa nanti aku lena tanpa jaga, kau iringlah lenaku dengan kalungan doamu... doakanlah agar aku dapat bertemu semula denganmu di pintu syurga Firdausi nanti... bersama memimpin tangan sambil mengukir senyuman manismu itu...

Sesungguhnya doa seorang muslim kepada saudaranya tanpa  pengetahuan saudaranya itu mustajab... pada kepalanya ada malaikat yang diberi tugas dan mengatakan :  
"semoga Allah mengabulkan dan untukmu juga seperti itu"...
Terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku walaupun engkau tahu betapa kurangnya diriku ini... sesungguhnya aku benar-benar  mengasihimu dan menyayangimu dengan sepenuh hatiku kerana Allah... sungguh! biarlah hubungan kita ini berkekalan hingga ke akhirat nanti, bukannya terhenti di penghujung dunia sahaja...
perlukah daku ditinggalkan???
perlukah engkau melupakanku???
perlukah ada rasa kesangsian???
perlukah ada rasa rindu???


Monday, 31 December 2012

KENAPA AKU YANG DIUJI???

Pada setiap ketetapan Tuhan yang terasa sukar, pasti ada rahmat-Nya (kasih) yang ampuh mengakar!

Ujian datang adalah untuk menyedarkan diri yang terleka, ujian juga datang adalah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya, ujian juga datang adalah untuk membalas dosa dan kesilapan kita di dunia. 
Engkau tidak pasti, apakah ujian yang timpa menimpa, yang bertali temali itu adalah tanda Tuhan murka kepadamu?

Atau, apakah ujian yang kadang menyesakkan jiwamu, yang kadang menyusutkan semangatmu, yang kadang meluluhkan nubarimu itu adalah nyata sebuah peringatan dan tazkirah dari Tuhan?

Engkau buntu, tenggelam dalam sebuah pencarian.

Bila jelas di matamu, melihat manusia di sekeliling yang sentiasa girang menyambut hari-hari mendatang, kau jadi cemburu. Engkau tanya hati dalam jujuhan air mata - kenapa engkau yang diuji?

Ada getaran dalam dada. Kuat memecah sebak dan pilu di hatimu. Ada cahaya yang bersinar dari mata hatimu. Ada bisikan kecil lahir dari dalam sanubari - engkau sebenarnya menjadi insan pilihan Tuhan untuk menerima ujian.

Akal fikirmu pula menjelajah hati dan berkata - Tuhan menyayangimu lebih daripada manusia yang Tuhan berikan kesenangan itu, supaya engkau mengingati akan karibnya mati, supaya engkau berfikir betapa daifnya habuan duniawi.

Engkau jadi kelu, bila akalmu menterjemah jiwamu yang diasak persoalan bertalu-talu. Namun, dalam ribuan persoalan itu, nyata pusat akalmu berhenti pada persoalan ini - bukankah matlamat utama hidupmu adalah untuk kesenangan akhiratmu?

Tubuhmu menggigil, bila melihat berjuta muslim yang mencintai dunia dan takutkan mati. Tubuhmu gementar bila mengingatkan ramai orang Islam yang tidak menanam benih untuk kesenangan akhiratnya.

Juga jelas di matamu, masalah yang berbelit-belit, pintal berpintal itu nyata membuatkanmu sering mengingati Tuhan, tenggelam dalam sujud panjang kala dinihari.

Bukankah di mataku, dan di mata mereka - engkau seorang manusia yang hebat? 
Saudara yang dihormati,apabila kita ditimpa masalah, cuba lapangkan hati dengan memberi, sebab kita percaya, dengan memberi, rezeki kita akan bertambah, urusan kita dipermudahkan dan amanah serta tanggungjawab terasa ringan dan senang.

Percayalah Allah melihat setiap pengorbananmu. Allah tidak pernah mensia-siakan dirimu. Allah tidak pernah menghentikan degupan jantungmu. Di saat kamu tidur semalam, adakah Allah menghentikan aliran darahmu? Adakah Allah menyekat pernafasanmu? Tidak! Kerana Allah masih sayangkan dirimu. Usahlah lihat kepada segala bencana atau dugaan sebagai sesuatu yang membuat dirimu lemah, tetapi pandanglah segala nikmat yang tidak terkira banyaknya. Tidak ada seorang kekasih pun yang boleh memberi nikmat setanding Allah SWT.
Biar KEPAHITAN itu pergi
Agar KEMANISAN mengisi
Biar KEKECEWAAN berlalu
Agar KEGEMBIRAAN mewarnai
Biar PENDERITAAN itu menyapa
Agar KEKUATAN kita dijana semula
Biar diriku DERITA
Agarku tahu KEPAHITAN itu DERITA
Agarku sedar KESENGSARAAN ini tidak sama
Bahkan hanya CEBISAN dari penderitaan Rasulullah saw
ALLAH sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya
Tapi MANUSIA-lah yang menzalimi diri sendiri.

Allah tidak menimpa sesuatu ujian kepada hambanya melebihi kesanggupan hamba tersebut.

TERKAPAI DALAM MENCARI JALAN-MU

Apabila kita merasakan sudah tiada orang memahami kita, maka Dia sedang meminta kita untuk kembali 'memahami'-Nya.

Hanya dengan berusaha 'memahami' Pencipta, barulah kita akan mula memahami yang dicipta-Nya.

Kita sentiasa ada Dia, dan cinta Baginda s.a.w!!!


Semua orang layak diberi peluang kedua. Janganlah terlalu menghukum orang dengan hukuman sendiri, sehingga kan mereka rasa takut untuk meneruskan kehidupan. Hidup di dunia ni singkat sangat jika nak dibandingkan dunia Akhirat nanti. Hargailah setiap kehidupan kita, lakukan yang terbaik, masa tak akan berulang lagi bagi kita undur dan memperbaiki setiap kesalahan yang lepas. Angkat sedikit kepala, pandang hadapan, senyum dan teruslah melangkah. Ingat ALLAH selalu sebab DIA tak pernah lupakan kita. 
Sabda Rasulullah s.a.w:
 "Seorang Mukmin seperti pohon yang ditanam, setiap masa angin kerap meniupnya. Seorang Munafik ibarat tanaman padi, ia tidak akan disentuh melainkan waktu menuai." 


Begitulah kehidupan Muslim, selalu diusik dan disentuh dengan pelbagai asbab. Ibarat pohon yang tidak pernah sunyi dari desir angin. Terliuk-lentok dibuai dan dihembus. Namun, akarnya kukuh mencengkam bumi, kuat dan ampuh. 



Akar itu seperti hati.

Pernah kita merasakan dalam hidup ini kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Apa yang kita rancang tidak menjadi. Apa yang kita beri, tidak seperti yang kita terima.


Allah sedang mendidik hati, biar kukuh memacak ukhrawi. Allah sedang mendidik hati supaya tabah, lantas segala mehnah menjadi mudah kerana sudah terbentur pasrah.



Namun, jika tarbiah dan ujian ini langsung dari Allah, melalui Qadha dan Qadarnya, kita terus berusaha untuk pasrah, malah terpaksa pula bersabar kerana tiada kudrat untuk melakukan apa-apa seperti musibah kematian misalnya. Bagaimana pula jika ujian itu datang dari makhluk, yang kita mampu pula untuk membalasnya.



"Tak perlu jujur sangat dalam dunia sekarang ni,"


"Tipu sikit-sikit tak apa, dunia ini penipuan,"

Pelbagai dialog akan muncul melalui pandangan akal, lalu kita sukar menafsir hakikat, lantas kadang-kadang sudah terhantuk baru terngadah.

Kejujuran tidak lari daripada sikap. Ia membentuk peribadi yang luhur. Begitu susah orang sekarang untuk berlaku jujur, sedangkan sikap terpuji itu membawa hikmah yang besar.

Nabi Muhammad SAW bersabda, "Hendaklah kalian jujur, kerana kejujuran akan menghantarkan kepada kebaikan dan kebaikan akan menghantarkan ke syurga" (H.R. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu), hendaklah kita bersikap jujur dalam ucapan, keyakinan dan amalan.

Bukankah kejujuran itu sesuatu yang mesti dan selalu tanpa kompromi, sehingga baginda Rasulullah s.a.w apabila bergurau konsisten dalam benar dan jujur? 

Rasulullah Bersabda : “Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke surga. Seseorang akan selalu bertindak jujur sehingga ia di tulis di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang akan selalu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai pendusta.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dan Allah pun berfirman didalam Al-Qur’an surat Att-taubah ayat 119 :
“Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadilah kamu (hidup) bersama orang-orang yang benar ( jujur )” .

Pertahankanlah kejujuranmu, meskipun engkau menghadapi celaka. Kerana pada kejujuran itu hakikat keselamatan. Dan jauhilah perbuatan dusta, meski engkau melihat sebagai keselamatan, kerana pada ketidakjujuran itu adanya celaka.”
Apabila engkau bersendirian sedetik, jangan engkau kata,
aku telah bersendirian, bahkan katakanlah aku diperhati,
jangan engkau menyangka Allah lalai walaupun sedetik,
jangan sangka ada sesuatu tersembunyi,tidak diketahuiNya.

Menangisi perpisahan akibat gagal bercinta adalah satu pembaziran mutiara jernih kita dan juga menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi dengan menangisi dan menyesali akan dosa kita lantas meminta pengampunan dariNya akan lebih menjamin dunia dan akhirat.

Seseorang yang berperibadi kuat umpama besi waja semakin dibakar oleh keadaan semakin dititik oleh cabaran hidup semakin teguh dan waja untuk menhadapi hidup. Seseorang yang berperibadi lemah laksana tanah apabila diketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai.

Bahagia itu bukan destinasi
yang belum pasti
bahagia ada setiap hari
dinikmati oleh hati
Bahagia anugerah Ilahi
berhak dimiliki
buat siapa yang mencari
dengan petunjuk hakiki

Bahagia perlu diciptakan
bukan sekadar diangankan
dalam setiap keadaan
dalam setiap kesempatan

Usah terus sengsara
bahagiamu di depan mata
ciptakanlah bahagia
dan sebarkan bahagia
by:FATIMAH SYARHA
“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindunganMu dari kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab qubur. Ya Allah, berikanlah ketaqwaan kepadaku dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan , Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk , nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabulkan “.

...Alihkan matamu ke laut, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan, tetapi hanya Allah sahaja tahu rahsia didalamnya, begitulah dengan kehidupan manusia, riang ketawa.. tetapi hanya Allah yang tahu rahsia kehidupannya, jika kau kecewa, maka pandanglah sungai.. airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu menghalang, jika kau merasa sedih pandanglah ke langit, kau akan sedar bahawa Allah sentiasa bersamamu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...