Pages

Saturday, 19 November 2011

AYAT-AYAT MUHASABAH CINTA



DUHAI HATI...


Dunia yang seperti pelangi, sementara mengindahkan, dan akan pergi.


Aku mendoakan kalian dengan kebaikan dan keelokan dalam segala tingkah dan kata. Dan aku di sini, hari ini, sangat rasa rendah dan hina. Aku hari ini, melihat hujan seperti meluruhkan tombak-tombak berbisa menerjah ke batang tubuh. Aku hari ini, melihat mentari seperti memancarkan jarum-jarum halus melalui sinarnya. Aku hari ini, seperti melihat bulan gerhana dalam tangis dan tawa.




Dan cinta masih begitu, tenang mendamba.


Aku di sini, masih begini, sentiasa ingin memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain, sentiasa ingin mencari rezeki, wang dan harta, yang dalam ruang pencarian itu, sering terleka dan tersadung. Dan barangkali, sukar untuk memberikan kefahaman kepada semua orang tentang itu, tentang rasa, tentang kasih sayang, tentang amanah dan tanggungjawab, tentang ilmu dan tentang pandangan yang Esa.


Dan cinta terus begitu, tenang memuji.


Dan orang juga tidak tahu, betapa kadang-kadang aku terasa diri sedang berpura-pura di hadapan Tuhan, menjadi manusia hipokrit yang pura-pura tidak sedar tentang kebenaran. Dan Tuhan telah berkali-kali memberikan hidayah, tapi alpa dan leka sering mengunci riak dan tingkah. Betapa diri lemah dan hina di sisi-Nya sebagai hamba. Betapa diri ini sering melaungkan kemaafan kepada orang lain dan mendamba maghfirah-Nya sentiasa.


Dan cinta kini dirongrong rindu, akrab.


Betapa pedihnya hati apabila hakku dirampas, dan cuma sedikit terasa kepedihan itu apabila melihat hak orang lain dijarah. Dan sehingga kini aku masih belum mampu menjawab - apakah ini makna kasih yang dituntut Tuhan? Betapa selama ini aku telah lama menyedari, segala apa yang di sekelilingku hanya pinjaman dan tiada suatu pun yang menjadi hak mutlak diriku. Tangan, kaki, mata, telinga dan seluruh anggota adalah pinjaman Tuhan kepadaku. Dan soalan ini sering tidak dapat kujawab - apakah aku mampu membayar kembali pinjaman ini kepada-Nya?


Dan cinta kekal begitu, tenang menanti.


Apalah dayaku, ini adalah soal hati. Yang susah untuk dimengerti dan membuat orang lain mengerti. Ini soal hati, yang bukan mudah berbusa menjadi istimewa, ceria dan menduga. Tuhan, hari ini aku ingin mencapai cintaku, cinta-Mu melalui pinjaman ini. Dan andai aku ditakdirkan mati, aku ingin mati dalam senyum rindu, dalam dakapan cinta-Mu.


Teman, bukankah ceritaku ini, adalah ceritamu jua?


Dan cinta terus subur sendiri, 
kerana cinta itu bagiku adalah mati.
 

Wednesday, 9 November 2011

HAKIKAT SEBUAH LANDASAN

Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian , Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran. [103:1-3]

Tiada yang terindah dalam hidup ini jika kita benar-benar berada dalam kesyumulan Islam.

Keindahan yang membahagiakan itu tentulah apabila kita berada sepenuhnya dalam cara hidup Islam melalui semua sistem kehidupan, tanpa dipisah-pisah dan dijuzuk-juzukkan.

Matlamat hidupmu

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu. [51:56]

APAKAH YANG TELAH KITA LAKUKAN PADA HARI INI DAN SAAT INI????
APAKAH SEBENARNYA HAKIKAT HIDUP INI???
APAKAH KITA MASIH RAGU-RAGU AKAN KEBENARAN???

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Allah SWT dalam ayat ini menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Firman Allah:

"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah lagi :

"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Kebanyakan manusia itu diazab di neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT sedangkan kepercayaan itulah yang akan membersihkan jiwa mereka dari segala macam was-was dan kehinaan serta kerendahan. Kepercayaan inilah yang akan menanam keyakinan kepada diri mereka sendiri, dan menjadi benchmark kepada keutuhan peribadi dan sahsiah.

Kita juga melihat sekalian manusia yang mengaku beriman, tetapi sebenarnya lalai dan lupa dengan kepercayaan sepenuhnya pada hari Akhirat. Mereka hanya menggunakan akal untuk menanam saham dunia tanpa sedikit pun membaja benih akhirat dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya mengetahui yang zahir [saja] dari kehidupan dunia, sedang tentang [kehidupan] akhirat adalah lalai." [Ar Rum : 7]

Mereka tidak memahami bahawa tujuan hidup sebenar manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan melaburkan saham Akhirat sebanyak mungkin sebagai persediaan. Mereka tidak mengetahui bahawa tujuan Allah memerintahkan mereka menjauhi kemaksiatan dan dosa serta mendorong melakukan amal adalah untuk dua kebahagiaan - dunia dan akhirat. Mereka membutakan hati dan mata, memekakkan telinga dengan segala macam kebaikan dan petunjuk yang datang kepada mereka.

Firman Allah :

"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya."[Al-Ahqaf : 26]

Mereka tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mensia-siakan hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, kerana binatang tidak mempunyai akal dan upaya fikir untuk mengolah kesan penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang hanya mewujudkan persepsi atau reaksi terhadap dunia luar secara naluri dan bertujuan hanyalah untuk meneruskan hidup [survival]. Betapa hinanya manusia yang menjadi seperti binatang ini dan menjadi hamba kepada hawa nafsu, malah mereka lebih rendah nilai kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati.

Sempurnanya kita...
Segala kesulitan dan khilaf pasti ada penyelesaiannya...
Dan setiap kegembiraan itu membawa kepada kebahagiaan..,
TAPI bersyukurkah kita wahai hamba Allah???
Bersyukurkah kita???
Adakah kita ingat pada NYA???

Orang yang mengerjakan sesuatu untuk dunia hasilnya nampak, cepat dan boleh dikecapi hasilnya serta merta, tetapi orang yang mengerjakan sesuatu untuk Akhirat, hasilnya tidak nampak, lambat, tetapi dia hanya percaya dalam cinta. Dan percaya dalam cinta itulah iman.

Abdul Rahman bin Auf antara sahabat baginda s.a.w yang kaya dan telah menginfaqkan seluruh kekayaannya fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar memiliki harta yang banyak ketika di Madinah. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang paling awal memeluk Islam dan salah seorang daripada sepuluh sahabat al-Mubasshirina bil Jannah.

Dia menangis suatu ketika, kemudian ditanya kenapa dia menangis, dan dia membandingkan dirinya dengan para sahabat yang syahid terlebih dahulu seperti Mus'ab bin Umair, yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus'ab meninggal dunia dalam keadaan tidak cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Begitu juga dia membandingkan dirinya dengan Asadullah Saidina Hamzah, seorang pahlawan yang lebih mulia daripadanya, dan juga tidak cukup kain kafan saat kembalinya ke pangkuan Allah.

Dia bimbang jika dia termasuk di antara orang-orang yang dipercepatkan untuk menikmati kebahagiaan di dunia, lalu akan tersisih daripada para sahabat dan Rasulullah di Akhirat disebabkan kekayaan. Walaupun dia merupakan salah seorang para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w. Ketika dia bersedekah, dia menangis kerana mengingatkan Rasulullah s.a.w yang tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum.

Kebimbangan dan keimanan seperti Abdul Rahman bin Auf inilah yang perlu ada dalam jiwa mereka yang ingin menjadi kaya. Tanpa menafikan sumbangan umat Islam yang memiliki jiwa seperti sahabat Rasulullah yang agung ini, tapi sekadar memberikan tazkirah, supaya kita sentiasa menjadikan dunia itu di tangan bukan di hati, menjadikan dunia dan segalanya itu hanya alat untuk menyemai benih-benih manfaat, menuju Akhirat sebagai matlamat. 

Penyesalan itu hakikatnya merupakan pintu kepada sebuah hidayah.Dambakan dan abdikanlah diri kepada yang berhak.Sesungguhnya keampunan Allah itu sangatlah luas kepada hambaNYA.

Hidup adalah anugerah

Kita sebagai umat Islam perlu percaya bahawa hidup ini adalah anugerah. Kita dipilih menerima anugerah yang bernama kehidupan. Anugerah pinjaman yang sebentar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk agama-Nya. Hidup untuk kita terus menebar manfaat dan kebaikan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah kepada orang lain.



Apabila kita faham bahawa hidup ini adalah suatu bentuk anugerah yang dipinjamkan, maka kita akan sentiasa yakin bahawa pada bila-bila masa anugerah ini akan diambil semula. Bukanlah bermakna apabila kita redha bahawa ketetapan ini adalah milik Allah dan Allah Maha Mengetahui rahsianya, maka kita menolak usaha, doa dan tawakkal.

Benar, kita perlu sentiasa berusaha menjadi Muslim yang baik, taat suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam doa dan tawakkal.
Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.

"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa."
(Riwayat Bukhari)
 
Susurilah hari-hari kita walau hati diipuk sedih, kerana itu fitrah manusia. Namun, zahirkan senyuman dan selitkan di hati di celah-celah kesedihan itu rasa bangga dan syukur, kerana kita sebenarnya telah dipilih Allah untuk menerima kebaikan.

"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)."
 (Riwayat Bukhari)


Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya. 

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia bermohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah : 186)

Tiadalah lebih bermakna bagi seorang manusia dan hamba di sisi Allah, melainkan menjulang kejayaan di Akhirat kelak. Untuk berjaya di Akhirat, maka segalanya bermula semasa di dunia. Dan untuk berjaya, kita perlu selalu berubah, tingkatkan diri dengan adab dan akhlak.
Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani 

BUKAN SIAPA-SIAPA, YANG INGIN MENJADI SESEORANG

Saya bukan siapa-siapa, tetapi saya ingin menjadi seseorang, kerana sekiranya saya ingin mencipta sesuatu, saya perlu menjadi sesuatu.


Ya, kita semua bukan siapa-siapa di dalam kehidupan ini, tetapi setiap daripada kita selalu berusaha untuk menjadi seseorang dalam sesuatu bidang, sesuatu lapangan, atau apa sahaja yang kita ceburi. Apatah, kita mahu sentiasa menjadi seseorang dalam hati si dia yang kita sayangi.


Rasa ingin menjadi seseorang itu merupakan fitrah manusia, rasa inginkan perhatian, rasa mahu dikenali, rasa ingin menjadi itu dan ini, semuanya merupakan rasa yang tercetus daripada fitrah hidup seorang manusia. Apa yang menggerakkan seseorang berfikir sedemikian adalah daya imaginasi hasil dari rangsangan dan dorongan hidup masing-masing. Namun, amat penting bagi seseorang itu untuk mengenalpasti yang mana imaginasi dan yang mana angan-angan. Malah Albert Einstein pernah menyebut - imaginasi anda merupakan gambaran anda tentang kehidupan - your imagination is your preview of life.


Namun, sebagai Muslim, apa sahaja imaginasi yang memacu akal perlulah dimulakan dengan niat, sebelum disusuli dengan tindakan. Niatlah yang akan membezakan di antara adat dan ibadah. Niatlah yang akan menentukan kedudukan amal kita di sisi Allah.


Apakah yang lebih baik daripada kita menjadi seseorang di dalam bidang yang kita suka, atau menjadi seseorang di samping orang yang disayangi, berbanding menjadi 'seseorang' di sisi-Nya?


Imaginasi tanpa ilmu


Apabila seseorang berkarya, terutama dalam karya kreatif, peranan imaginasi sangat penting. Sebarang imaginasi yang dicurahkan dalam bentuk tulisan, jika dapat diolah dengan baik akan menjadi realistik dalam pemikiran pembaca. Pembaca akan terbawa-bawa bersama dalam struktur imaginasi yang dicipta oleh pengarang. Namun, sesungguhnya imaginasi tanpa ilmu itu sifar nilai. Imaginasi tanpa ilmu adalah seperti bermain bola sepak tanpa pintu gol. Seperti kata seorang pemikir Perancis, Joseph Joubert - seseorang yang berimaginasi tanpa belajar, mempunyai sayap dan tiada kaki - he who has imagination without learning, has wings and no feet.

Seorang Muslim yang berimaginasi tanpa ilmu, tanpa pengetahuan tentang syarak, ibarat mengheret dirinya ke arah dunia khayal dan seterusnya menyuburkan penyakit 'wahan' dalam hati sanubarinya. Imaginasi yang disuburkan dengan ilmu, akan menghasilkan produk yang bermutu, luhur dan yang paling penting mendapat 'kelulusan' daripada-Nya.


Firman Allah yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan." (Luqman : 6)


Ya, imaginasi tanpa ilmu, sia-sia, malah boleh mengundang azab.


Amanah menggunakan akal


Akal merupakan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Setelah Allah menciptakan nafsu atau syahwat sebagai ujian besar buat manusia, maka Allah ciptakan akal sebagai penyeimbangnya. Tidak cukup sekadar itu, Allah mengutuskan Rasul sebagai rahmat daripada kalangan kaum manusia sendiri sebagai wasilah kepada Risalah Wahyu, malah menjadi ikutan dan contoh yang boleh diikuti kerana para Rasul juga memiliki keperluan untuk hidup sebagai seorang manusia seperti makan, berkahwin, berkecindan dan segala macam seni kehidupan.


Islam meletakkan akal fikiran di tempat yang tinggi bagi manusia mentadbir bumi sebagai khalifah, berfikir tentang segala kejadian dan kesan ciptaan-Nya sehingga akhirnya mereka mampu mengenal Penciptanya. Contoh perbandingan kehebatan manusia sebagai khalifah ini Allah rakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud :


"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah (menerima amanah). Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr : 21)


Semakin tinggi akal seseorang, semakin luhur jiwanya untuk mengekang nafsu atau syahwatnya. Ini kerana kemuncak akal seseorang akan mengembalikannya semula kepada basis agama atau teras syariat iaitu Tauhid.


Menggunakan akal untuk berimaginasi atau apa sahaja bentuk fikir merupakan amanah Tuhan kepada manusia. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, apatah apabila dicurahkan dalam bentuk yang 'jamid' pasti akan dinilai oleh Allah. Malah, seorang manusia juga mampu menilai bagaimana seseorang yang lain berfikir melalui tulisan-tulisan yang dihasilkannya.


Kata Imam al-Ghazali, akal itu perlu berfungsi seperti buah kepada pokok, cahaya kepada matahari dan pandangan kepada mata.


Jika mahu menjadi seseorang, pastikan akalmu berfungsi dengan ilmu, dan ilmu perlu selalu berpaksikan wahyu. 

Wednesday, 5 October 2011

CINTA SEORANG MANUSIA AGUNG

Kita cinta kepada Allah, kerana kita tahu Allah itu ada, walaupun kita tidak melihat-Nya, tidak mendengar-Nya. Kita cinta kepada Rasulullah s.a.w, walaupun kita tidak pernah melihat baginda, menyentuh baginda, mendengar ajaran baginda, dan bukankah ini makna seagung-agung cinta?


Inilah bukti cinta yang sebenar-benarnya tentang cinta, yang telah dicontohkan Allah SWT melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, meski langit mulai menguning di ufuk timur, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayapnya.

Rasulullah dengan suara lemah memberikan kutbah terakhirnya, “Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, al-Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasul yang tenang menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. “Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.
“Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.
“Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah.
“Siapakah itu wahai anakku?”
“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah.
Fatimah menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut telah datang menghampiri. Rasulullah pun menanyakan kenapa Jibril tidak menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.
Tapi, semua penjelasan Jibril itu tidak membuat Rasul lega, matanya masih penuh kecemasan dan tanda tanya.
“Engkau tidak senang mendengar kabar ini?” tanya Jibril lagi.
“Kabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak, sepeninggalanku?”
“Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril meyakinkan.
Detik-detik kian dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
“Jibril, betapa sakitnya, sakaratul maut ini.” Perlahan terdengar desisan suara Rasulullah mengaduh.
Fatimah hanya mampu memejamkan matanya. Sementara Ali yang duduk di sampingnya hanya menundukan kepalanya semakin dalam. Jibril pun memalingkan muka.
“Jijikkah engkau melihatku, hingga engkau palingkan wajahmu Jibril?” tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril sambil terus berpaling.
Sedetik kemudian terdengar Rasulullah memekik kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
“Ya Allah, dahsyat sekali maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku,” pinta Rasul pada Allah.
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali pun segera mendekatkan telinganya.
“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
“Ummatii, ummatii, ummatiii?” Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran kemuliaan itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.


APAKAH CINTAKU SEHEBAT MANUSIA YANG AGUNG INI??
APAKAH PENGORBANAN YANG TELAH AKU BUAT UNTUK MANUSIA INI??
LAYAKKAH AKU MENGAKU SEBAGAI UMMATNYA??
MASIH ADAKAH RUANG UNTUK MEMBUKTIKAN KECINTAANKU??

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Aku tinggalkan kamu kepada dua perkara dimana jika kamu berpegang kepada keduanya, kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.
(Malik,t.th :502)

Betapa mulianya Nabi Besar Muhammad Rasulullah SAW selama hidup beliau selalu mengajarkan kebaikan amal soleh dan menganjurkan umatnya selalu untuk ingat kepada Allah SWT. Disaat ajal maut menjemput, beliau masih memikirkan umatnya.
Kenapa Saat ini banyak umat nya yang lupa akan ajaran nya
.
Kenapa…!!!
Apakah kita ini sebagai umat nya tidak takut akan seksa Api Neraka…
Bertaubat lah kita semua, mulailah menuju jalan kebenaran yaitu:
JALAN MENUJU SYURGA ALLAH SWT.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ Al-Rashidin. Gigitlah sunnah dengan taring, jauhilah daripada mengada-adakan sesuatu, sebab perkara yang diadakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat dalam neraka
(masuk neraka). (Rw.Ahmad dll)

Ya Rasulullah…betapa kami rindu padamu…

Alam berpesta saat kelahiran insan agung,
Makhluk terbaik yang disebut Tuhan
di lembaran hikmah.

Dia merintis kemurnian hidup
mencantas jahil
yang mencemar kudus jiwa.

Dia menafaskan jiwa kerdil
yang tenggelam saban waktu
pada fatamorgana dunia.

Dia mungkin buta pada takrif aksara,
rencam pada baris huruf
Namun pada jiwa dan minda
khalis dan pokta
dalam suluhan nubuwwah
gelandang ummah
dipimpin berhikmah,

Ya Rasulallah,

Kau persis nur bulan bintang penghias malam
Pada sebuah perjuangan
kau kental menanggung taufan fitnah
yang tidak pernah khali,
Meski lewat cabaran dan tohmah
kau langkah dengan berhemah.

Kau layarkan bahtera adil dan jujur
yang diandal jiwa-jiwa sani
lewat keberkatan mukjizat
dan tarbiah Ilahiyyah,
Biar ribuan suda menghalang sabil
Kau cantas dengan pedang sabar dan cekal

Mereka akui kau insan pilihan
Namun bejat nafsu menghalang atma dari akur,

Biarlah pawana jahil itu berterbangan
Biarkan badai nafsu itu menghempas,
Kau tekal dengan misi,
Merentas gendala buta dan terjal
dengan iman dan hikmah Ilahi,
Garisah perit dan dukamu itu bagai rasa si penagih metia
menjumpai sahmura di mahligai impian.

Dari langit lazuardi cerah ke mega senja,
Kau tamsilan sebuah meditasi hidup
ilham perjuangan mujahid,
figura sanubari
Tiada kata yang terungkap dengan sahsiah dan budi,
Tiada nilai dan matra yang terukur dengan halus bicara,
Hanya terukir stanza dhaif
daripada seorang insan fakir
dalam zikir fikir
kalangan ummahmu yang litir

Demi ummah,
Kau rasai perit jasmani,
Kau lalui sayatan rohani,
Kau lontarkan mewah berahi,
Kau jauhkan manikam duniawi.

Pengorbananmu menjadi inspirasi,
Semangatmu mengalir di setiap sendi dan nadi,
Perjuanganmu nalar mengakar ilusi,
Kau terus hidup menyubur hati.

Wahai Rasulullah,
Kaulah perwira diri dan bukti cinta sejati,
Lantaran sayangmu pada ummah mengatasi kejerihan,
Sehingga pada akhir zaman usia
kekal meniti di bibirmu yang mulia...
"Ummati... ummati... ummati..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...