Pages

Wednesday, 3 October 2012

KERANA KITA SEORANG MANUSIA...


Cara untuk menguatkan hati ialah dengan memohon maaf, dan cara untuk mudah memohon maaf kepada orang lain ialah dengan mengaku kesalahan dan kesilapan. Cara untuk mudah mengaku kesalahan dan kesilapan ialah dengan mengingati bahawa kita hanya hamba-Nya yang pasti melakukan kesilapan. Orang yang mudah memohon maaf maka mudah pula untuk dia memaafkan orang lain.

Terlalu banyak sebab untuk kita memohon maaf daripada orang lain sepertimana terlalu banyak sebab untuk kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang tidak terhitung. Kita mudah memaafkan orang lain sebagaimana kita mengharapkan Allah s.w.t mudah pula mengampunkan dosa-dosa kita. 

Orang yang mudah memohon maaf dan memberi kemaafan itu hatinya lapang, lembut dan sentiasa tenang. Dia pemurah dengan senyuman, sayangi orang lain dan sabarnya ampuh.

Dalam hal memohon maaf dan memaafkan ini Allah s.w.t mengangkat darjat orang yang pemaaf kerana sifat pemaaf hanya dimiliki oleh orang yang mendapat kemuliaan di sisi Allah.

Allah S.w.t berfirman dalam hadis Qudsi riwayat Abu Hurairah r.a, "Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t : 'Ya Rabbi! Siapakah di antara hamba-Mu yang lebih mulia menurut pandangan-Mu?'

'Allah s.w.t berfirman, "Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya), dapat segera memaafkan.
"

Harga Sebuah Kemaafan

Tidak ternilai harga sebuah kemaafan itu. Kita selalu lupa bahawa setiap orang akan pergi meninggalkan kita. Setiap orang yang mengajar kita makna sebuah nilai hidup pasti akan pergi dari dunia ini.

Hakikatnya orang yang melukai kita sedang menambah nilai dalam hidup ini, walaupun nilai itu berupa nilai yang pahit. Ia tetap merencah kehidupan kita menjadi lebih bermakna dan berwarna-warni. Lantas, orang yang benar-benar beriman kepada Allah sentiasa melihat 'kebaikan' pada setiap ketetapan hidup. Jika ditimpa musibah dia bersabar, jika mendapat nikmat dia bersyukur.

"Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang Mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi Mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya."(Riwayat Muslim)


Jika fikir tentang sebuah kematian tidak mampu melembutkan hati kita untuk memohon dan memaafkan orang lain, maka apakah pula harga yang perlu kita bayar untuk bertemu dan mengharapkan keampunan Allah kelak, jika amalan selama beratus tahun pun tidak mampu membayar harga sebuah mata yang melihat?

Bayaran daripada sebuah kemaafan bukanlah sebuah senyuman atau ucapan terima kasih, tetapi adalah redha dan syurga-Nya di Akhirat nanti.

Manusia yang manusia

Dalam usaha kita memperbaiki diri, cuba menambah nilai hidup setiap hari, kita sering berbicara tentang tujuan hidup, objektif besar yang perlu dicapai, proses untuk berjaya yang sentiasa dihalusi, memperkasa usaha untuk berjaya, dan dalam setiap ikhtiar itu kita sering bergaul dengan seorang yang bernama manusia.

Manusia yang sering lupa, lalai, leka, silap, tergelincir, jatuh, luka, perit, sakit dan segala macam peristiwa yang sama-sama kita sendiri alami menjadi bukti bahawa kita dan dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas dari kekhilafan.

Kita mengabaikan aspek ini, sehingga kita mengharapkan dia sempurna, dan lebih selesa berbicara tentang tujuan, kerja, produk, proses, aktiviti, lalu lupa bertanya khabarnya, sakit letihnya, dan akhirnya kita lupa dia juga seorang manusia yang ada keperluan fisiologi dan psikologi yang perlu dipenuhi. Kita lupa bahawa kita semua serupa, melainkan mereka yang bertakwa mendapat tempat terbaik di sisi-Nya.

Ya, lupa kita juga adalah kerana kita seorang manusia... 


Friday, 24 August 2012

HIKMAH DI SEBALIK AIDILFITRI


Apa yang diwajibkan, disunatkan, dimakruhkan mahu pun yang diharamkan oleh Allah ada hikmahnya. 
Tujuan-Nya adalah bagi mendorong sang hamba mengenal dan mendekati pencipta dengan jiwa yang ikhlas dan tunduk, seterusnya menempatkan hamba-NYA yang soleh, serta dijauhkan dari azab seksa-
NYA..nauzubillah.

Demikian juga dengan Aidilfitri yang disambut dan dirayakan dengan rasa penuh kegembiraan, keceriaan, kebahagiaan berpaksikan tatacara yang dihalalkan oleh islam itu sendiri.Aidilfitri adalah hari meraikan kemenangan setelah sebulan bermujahadah melawan nafsu dan memenuhkan hari dengan ibadah.

Aidilfitri bukan hari pembubaran dari kabinet berlapar dan dahaga pada siang hari, membubarkan kerajinan berjemaah di masjid atau surau, membubarkan amalan membaca Al-Quran mahupun membubarkan penjagaan kata-kata dan perlakuan buruk sepanjang berpuasa. Ia adalah hari mensyukuri kejayaan diri yang kembali menjadi fitrah.

Hari raya Aidilfitri mahu pun hari raya Aidiladha, adalah perayaan dalam islam yang disyariatkan oleh Allah sebagai pengganti hari-hari raya yang pernah dikenal oleh masyarakat Arab sebelum datangnya islam.

Dari Anas dia berkata:
“Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, sedangkan penduduknya memiliki dua hari khusus yang mereka rayakan dengan permainan, maka baginda bersabda: ”Apakak maksud dari dua hari ini?” mereka menjawab;”Kami biasa merayakan keduanya dengan permainan semasa masih Jahiliyah.” Maka Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua hari itu, iaitu hari (raya) korban (Aidiladha) dan hari raya Aidilfitri.”

Hikmah kedua-dua hari raya islam ini dikaitkan dan digandingkan dengan dua rukun utam islam yakni puasa bulan Ramadhan dan haji ke Baitullah. Kedua-duanya adalah hari-hari yang perlu dirayakan dengan penuh kemuliaan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T sesuai dengan firman-NYA yang bermaksud:

“Begitulah, dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya itu termasuk (bukti) ketaqwaan hati”

(Surah Al-Hajj:32)
Ertinya Aidilfitri memiliki muatan makna dan kandungan hikmah yang luas, diperlukan sebagai bekal utama dalam perjalanan hidup selanjutnya selepas Ramadhan.

KEGEMBIRAAN DAN KESYUKURAN

Kegembiraan dan kesyukuran adalah hikmah yang sangat menonjol dari detik ummat Islam mula berpuasa. Kegembiraan meraikan kejayaan selepas berjuang selama 30 hari menahan dan mengawal nafsu. Bersuka ria menyambut Aidilfitri dibenarkan bahkan disunnahkan sebagaimana sabda Baginda S.A.W:

Dari Abu Hurairah RA, berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amal anak Adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh hingga tujuh ratus sekali."

Firman-NYA yang agung:

“Selain berpuasa, kerana puasa itu adalah untuk-KU dan Aku-lah yang langsung akan memberinya pahala.Sebab, ia telah meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana-KU.’ Dan bagi orang yang berpuasa ada dua saat kegembiraan: kebahagiaan ketika ia berbuka dan kegembiraan lain ketika ia bertemu dengan Rabb-NYA. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada aroma kasturi.”

Namun kegembiraan seperti apakah yang harus kita miliki dan tunjukkan pada hari raya? Jawabnya mestilah kegembiraan yang menzahirkan kesyukuran kepada Allah, yang mengurniakan taufiq dan hidayah-NYA sehingga mampu dimanfaat dengan amal yang istimewa. Bukan kegembiran yang muncul kerana telah lepas Ramadhan yang dirasakan sebagai bulan yang membebankan. Bukan juga kegembiraan kerana dapat melakukan maksiat.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa bersenang hati dengan amal kebaikannya, dan bersedih hati dengan keburukan yang dilakukannya, maka bererti dia orang beriman.”

KETAUHIDAN,KEIMANAN DAN KETAQWAAN

Ketika menyambut Aidilfitri,disunnahkan bertakbir,bertahlil,bertasbih dan bertahmid dengan sebanyak-banyak sebagai penegasan dan pembaharuan deklarasi iman dan tauhid.Ertinya identiti iman dan tauhid harus selalu diperbaharui dan dibuktikan,termasuk dalam detik kegembiraan dan perayaan,yang mana lazimnya.

Seperti dilaksanakan Rasulullah S.A.W sewaktu mencapai kenikmatan puncak yakni kemenangan dakwah Islam semasa penaklukan kota Mekah,disyukuri dan dirayakan kemenangan puncak itu dengan bertasbih,bertahmid dan beristighfar kerana itulah yang Allah perintahkan seperti mana terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Apakah telah datang pertolongan Allah dan kemenangan(penaklukan Mekah) dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,maka (sebagai bentuk syukur) bertasbihlah dengan memuji tuhanmu dan beristighfarlah kepada-Nya.Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.”
(An-Nashr,ayat 1-3)
      
KEMBALI KEPADA FITRAH
Hadirnya Aidilfitri bererti kaum muslimin kembali kepada fitrah dan kesucian seorang hamba. Ramadhan dengan segala amaliah istimewanya adalah salah satu momentum terbaik bagi penghapusan dosa yang mengotori hati dan jiwa sebagaimana sabda baginda S.A.W bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala(dan redha Allah),maka nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”..

“Barangsiapa melakukan qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dan redha Allah),maka nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

“Barangsiapa yang melakukan qiyamullail pada (malam) lailatul qadar (mengisi dengan ibadah) kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya dari-Nya) maka nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu…”

Setelah kebersihan diri,kesucian jiwa dan fitrah hati diperolehi kembali sehingga menjadi bak umpama bayi suci yang baru dilahirkan ibunya, maka wajarlah dituluskan nist untuk menjaga kebersihan,kesucian dan fitrah dalam meneruskan kehidupan berbisa dengan tidak lagi kembali kepada dosa-dosa baru.

KEPEDULIAN

Islam adalah agama peduli.Kerana itu umatnya pun adalah umat peduli.Sifat atau karekter kepudian itu begitu nampak selama sebulan bulan puasa yang mana semangat pengagihan dan sifat memberi melalui berinfak dan bersedekah serta kewajipan berzakat. Begitu indah menghiasi hari-hari penuh peduli sepanjang bulan Ramadhan. Itu semua tidak lain dalam rangka meniru dan mencontohi keteladan terbaik daripada Rasulullah S.A.W

Rasulullah S.A.W adalah manusia yang paling dermawan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Baginda sanggup menderma walau dengan separuh buah tamar yang sepatutnya menjadi juadah berbuka baginda.Baginda paling banyak bertadarus al-Quran. Jibril A.S mendatangi baginda setiap malam dalam bulan Ramadhan, untuk bertadarus bersama baginda.

Rasulullah S.A.W adalah rasul yang perlu diteladani. Orang kedekut dan terlalu berkira, maknanya bukan menteladani Rasulullah S.A.W. Sikap kepedulian adalah sunnah Rasulullah S.A.W yang perlu bertunas dalam diri setiap insan.

KEBERSAMAAN 

Sepanjang Ramadhan, suasana kebersamaan umat begitu kental dan begitu indah. Permulaan berpuasa pada 1 Ramadhan disambut dengan bertarawih bersama,bertadarus bersama, dan berbuka puasa, beriktikaf bersama, berzakat fitrah bersama, dan berhari raya bersama yakni 1 Syawal.

Ibadah dan amaliah Ramadhan serta Aidilfitri adalah bersifat jamaiyah atau kolektif. Ia tidak boleh dilakukan secara individu dan terasing dari tarikh yang dimaktubkan. Semua umat Islam seluruh dunia perlu bergembira dan bersyukur dengan menyambut Ramadhan secara bersama dan meraikan Aidilfiri pada hari Raya Aidilfitiri pada hari yang sama sebagaimana sabda baginda S.A.W yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah bahawasanya Nabi S.A.W bersabda: “Berpuasa iti adalah pada hari dimana kalian semua berpuasa (secara bersama-sama) , dan Aidilfitri itu adalah pada hari dimana kalian semua (secara bersama-sama),  demikian juga dengan Aidiladha, iaitu pada hari dimana kalian 
semuanya (secara bersama-sama).” 


Thursday, 26 July 2012

ADAKAH INI RAMADHAN YANG TERAKHIR?

Ramadhan ini sebuah kembara dan perjalanan. Kembara seorang hamba mencapai Taqwa, perjalanan seorang insan menuju Tuhan. 

Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampuni semua dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)



Aku tenggelam
dalam jendera rindu
di pangkuan Ramadhan
yang selalu kunanti.


Marhaban ya Ramadhan!


Sesungguhnya aku sedang berpuasa! 

Ungkapan ringkas ini, adalah ungkapan inzar dan motivasi yang diajar oleh Baginda s.a.w untuk kita kembali ingat keadaan diri, menahan nafsu, seterusnya kembali semula kepada Allah, dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang rasional. Malah ungkapan ini juga mengajar kita supaya sentiasa memelihara hubungan sesama manusia, kerana sesungguhnya agama Islam adalah agama berjemaah. 

Sabda Rasulullah s.a.w : 

Puasa adalah perisai, maka janganlah berkata nista dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan : "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." (Riwayat Al-Bukhari) 

Perisai itu bukan sahaja mengawal nafsu seterusnya memelihara pahala puasa kita, tetapi juga sebagai perisai dari api neraka Allah s.w.t. 

Ungkapan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini bukan sahaja menjadi benteng, malah menguatkan motivasi diri untuk menjadi lebih kuat dan gagah menghadapi ujian kehidupan. Apabila kita berasa ingin marah atau sakit hati dimarahi, atau emosi terganggu ketika memandu, berlaku perbalahan di tempat kerja, lalu kita mengalunkan perlahan kalimah 'sesungguhnya aku sedang berpuasa' berulang-ulang kali di bibir atau di hati sambil mengurut dada, maka ketenangan akan kembali, lensa Akhirat kembali terpapar di ruang fikir. 

Kita akan kembali menyorot maksud berpuasa dengan 'imana wahtisaba' (penuh keimanan dan bersungguh-sungguh) lalu jadilah kita Mukmin yang diampuni dosanya yang telah lalu saat pintu syurga sedang dibuka seluas-luasnya di bulan barakah ini, insya-Allah. 

Sabda Rasulullah s.a.w : 

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan ikhlas (bersungguh-sungguh mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu (oleh Allah)." (Riwayat Al-Bukhari) 

Puasa ini untuk Allah 

Apabila ada 'orang besar' yang sangat ingin kita temui tetapi sukar dan hanya mampu melihatnya di dada akhbar dan media elektronik memberitahu dia sendiri akan datang dan memberikan hadiah kepada penduduk tempat tersebut. Maka semuanya berusaha membuat persiapan terbaik semata-mata ingin bertemu mata seterusnya menerima hadiah daripada 'orang besar' itu. 

Allah s.w.t menegaskan bahawa ibadah puasa itu adalah untuk-Nya berbanding ibadah-ibadah lain, dan Allah sendiri yang akan memberikan ganjarannya.
Sabda Rasulullah s.a.w :                                                                                     


"Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada aroma kasturi, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku (Allah). Puasa adalah untuk-Ku dan Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, kerana ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya." (Riwayat Imam Malik) 

Berbanding ibadah lain pahala bagi ibadah puasa tiada batasan, kerana ganjaran daripada 'orang besar' di atas tetap terbatas, kurang dan sangat lemah, berbanding Allah, Tuhan Yang Maha Besar, Yang Menciptakan. Justeru sewajarnya kita lebih bersungguh untuk meraih pahala dan cinta-Nya. 

Tiada kenikmatan yang lebih nikmat melainkan kenikmatan ketika kita bertemu-Nya kelak, dan ia hanya dapat dinikmati oleh orang yang berpuasa. 

Adakah ini Ramadhan yang terakhir

Soalan ini perlu selalu menerjah di ruang fikir kita, kerana kematian akan menjadikan kita Muslim yang sentiasa berhati-hati dalam segala tingkah dan amal, selalu mengingatkan kita dengan Akhirat, selalu memacu hati supaya memilih di antara dua destinasi, syurga atau neraka. Seperti sabda Rasulullah s.a.w : 

"Orang yang bijak adalah orang yang memuhasabah diri sendiri dan beramal untuk sesudah kematian dan orang yang lemah adalah orang yang menuruti hawa nafsunya kemudian berangan-angan (mengharap rahmat) pada Allah." (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah) 

Soalan ini akan memacu kita ke arah ketaatan, kemurahan rezeki, mengelakkan kehinaan dan laknat, menetapkan hati dalam istiqamah. Ayat ini akan menerbitkan rasa kita "melihat" dan "dilihat" oleh Allah. Malah sentiasa memberi peluang supaya kita menghargai setiap derap langkah, jerih nafas dan detak jantung untuk bertaubat, kembali dan menyesal atas segala dosa yang kita lakukan. 

Sahabat-sahabat sekalian, adakah ini Ramadhan kita yang terakhir? 

Sesungguhnya bergembiralah anda dengan kesabaran itu, kerana janji Allah dalam surah Az-Zumar ayat 10 :
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُوْنَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Sesungguhnya akan dipenuhi bagi orang-orang yang sabar pahala mereka berlipat kali ganda tanpa perhitungan."

Wednesday, 27 June 2012

REDHAMU KU PINTA

"Nasib baik, kalau aku ikut tentu aku yang kena."

"Aku hanya dilambatkan seminit, kalau tak nahas. Nasib baik."

Mungkin kita biasa dengar dialog-dialog di atas dituturkan oleh sahabat, kerabat malah diri sendiri apabila berhadapan situasi di'selamat'kan daripada sesuatu. Lalu kita bersyukur dengan kesempatan dan peluang yang masih diberikan. Namun, apabila kita menyangka bahawa 'yang selamat' itu bernasib baik, apakah yang 'tidak selamat' itu pula bernasib buruk?

Sabda Rasulullah S.A.W: Janganlah seseorang kamu meminta mati kerana bala yang diturunkan kepadanya, sebaliknya hendaklah dia berdoa: Wahai Tuhanku , hidupkanlah aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku.

Semua ini termasuk dalam qadha dan qadar atau ketetapan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Ini bermakna, apa sahaja yang datang dari Allah, tentulah itu yang terbaik walaupun tidak baik pada pandangan kita, kerana Dia Maha Mengetahui. Sesungguhnya kita tidak tahu cara Allah ingin memberi kebaikan kepada hamba-hamba-Nya, malah apa yang kita rasa baik belum tentu baik juga pada pandangan Allah, malah boleh menjadi satu ujian bahkan bahana dalam kehidupan kita menuju Akhirat.

Ingatlah JANJI Allah dan janganlah berputus asa terhadap-NYA.Sesungguhnya DIA yang lebih mengetahui apa yang terbaik bagimu.                                
                                                                                                                                                                      
Cuba kita renung, apabila kita ber'nasib baik' pada hari ini, apakah pada hari esok dan hari-hari seterusnya kita akan tetap ber'nasib baik' juga? Dan apakah yang kita sangka 'nasib baik' hari ini merupakan kebaikan pada hari-hari akan datang juga, atau menjadi suatu keburukan pula?

Aduh, sangat sukar menebak dan menjangka hakikat kebaikan ini bukan?

Menerjemah Kebaikan

Sangat sukar dengan akal yang terbatas untuk kita menerjemah kebaikan di atas apa yang terjadi dalam kehidupan ini. Seperti firman Allah s.w.t :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)


Senang benar kita 'terperangkap' dengan kebaikan yang dilihat melalui sudut pandang sendiri. Kita lebih memilih sihat dari sakit, senang dari susah atau kaya dari miskin. Sedangkan kita tidak tahu apakah itu sebenar-benar kebaikan di sisi-Nya?

Di atas akal yang terbatas dan tidak mampu meramal ini, maka Allah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menanam serta menuai akidah dan iman dalam hati kita. Selama 13 tahun Rasulullah s.a.w menanam kepercayaan dan keimanan ini dalam hati para sahabat sehingga mereka menjadi hamba Allah yang benar-benar berkualiti dengan sikap - dengar dan taat, tanpa banyak soal dan mempersoal.

Sabar, senyum dan syukur

Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.

"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa." (Riwayat Bukhari)

Susurilah hari-hari kita walau hati diipuk sedih, kerana itu fitrah manusia. Namun, zahirkan senyuman dan selitkan di hati di celah-celah kesedihan itu rasa bangga dan syukur, kerana kita sebenarnya telah dipilih Allah untuk menerima kebaikan.

"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)." (Riwayat Bukhari)


Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya. 


Sebagai renungan buat kita sebagai hamba yang tidak putus dan tidak lari dari membuat khilaf dan melakukan dosa tetapi syurga didambakan,sebagaimana firman Allah:
`yJsùr& tb%x. $YZÏB÷sãB `yJx. šc%x. $Z)Å$sù 4 žw tb¼âqtFó¡o ÇÊÑÈ
Apakah orang-orang yang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik???                          Mereka TIDAK SAMA.                                      
                                                                                                                 (As-Sajdah:18)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...