Pages

Thursday, 29 May 2014

DENGAN IZIN-MU

Jauh yang mendekatkan

Jauh-jauh itu sebenarnya mendekatkan. Perpisahan itu mengakrabkan.

Apa sahaja yang bermaksud sama dengan nama "perpisahan" sebenarnya adalah ruang dan peluang untuk kita melihat diri dan kembali mengingati saat bersama insan-insan yang kita sayangi - anak, suami, isteri, ibu, bapa, kaum keluarga dan sahabat handai. Ruang jeda itu sangat bermanfaat kerana di situlah kita akan lebih mengenali siapa diri apabila bersama mereka. Kita akan sentiasa mengenang saat-saat kecelaruan dan kekhilafan kita kala bersama insan-insan yang kita sayangi ini. Sebetulnya itulah proses muhasabah, untuk kita kembali menghitung makna sebuah perhubungan dan ikatan. Kita akan kembali menghargai saat bersama, saat mereka ada, dan berharap dapat dipertemukan semula.

Jauh di sudut hati, kita tidak menginginkan perpisahan itu merupakan perpisahan selama-lamanya di dunia, yakni proses untuk kita atau mereka yang kita sayangi berhijrah ke alam Barzakh. Kemungkinan ini biasanya akan muncul dalam minda apabila berlaku perpisahan, dan sesungguhnya perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Maka jadikan doa sebagai amal rutin di sepanjang perpisahan itu. Jika perpisahan nyawa benar-benar berlaku, berdoalah agar kita akan bertemu mereka di Jannah, dalam keadaan yang tenang dan selamat di sisi-Nya.
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia bermohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah : 186)

Berdoalah, kerana doa akan memperkuat harapan, dan membenam segala prasangka kita terhadap Tuhan. Perpisahan itu menguatkan, dan tanpa perpisahan kita tidak akan menghayati makna sebuah pertemuan. 
Buat sekalian para pejuang...

"Cabaran dan dugaan lumrah
kehidupan
ketentuanNYA meredhakan
DIA menghendaki kebaikan dan 
kemuliaan
Rahmat dan kasih di sebalik pujian

Jangan ditangis,jangan disesal
Pada sebuah ketetapan
Rasailah,kecapilah...
Terselindung di sebaliknya
Sebuah hakikat lentera duga..."


“Ya ALLAH,Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu… Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah ikatannya Ya ALLAh… Kekalkan kemesraan Antara hati-hati ini bersama jalan-Mu yang sebenar… Penuhkan pelita hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap… Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keyakinan serta keindahan bertawakal kepada-Mu… wahai zat yang membolak-balikkan hati, hidup dan suburkan hati-hati ini dengan ma`rifat tentang-Mu, dan sekiranya Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai Syuhadak dalam perjuangan agama-Mu… kepada Engkaulah sebaik-baik sandaran dan Pemberi bantuan…”



Sunday, 16 February 2014

MAAFKANLAH KEJAHILAN HAMBAMU

"Ya Allah,dalam menikmati kurniaanMU tak terucap lafaz syukurku,namun untuk menjadi yang terbaik masih jua belum ku mampu,dalam sujud cintaku tenang ku diulit rindu,terasa cemas untuk hidup tanpa redhaMU...."

Ujian demi ujian... Rintangan demi rintangan...
Engkau tidak pasti, apakah ujian yang timpa menimpa, yang bertali temali itu adalah tanda Tuhan murka kepadamu?


Atau, apakah ujian yang kadang menyesakkan jiwamu, yang kadang menyusutkan semangatmu, yang kadang meluluhkan nubarimu itu adalah nyata sebuah peringatan dan tazkirah dari Tuhan?

Engkau buntu, tenggelam dalam sebuah pencarian.

Mengadulah pada Allah.. Bergantunglah pada Rahmat Allah... Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu...

Jangan pernah sekali-kali berpragsangka terhadap apa yang terjadi, kerana Allah lebih mengetahui apa yang baik dan buruk untuk hambaNYA... 

Namun bersamaMu kutemukan kekuatan...

Saat ingin berbuat dosa, iman berkata, "Jangan!"

Saat melakukan dosa, iman bertegas, "Cukup!"

Seusai melakukan dosa, iman merintih, "Aku menyesal."

Saat dosa menggunung, iman menyeru, "Bertaubatlah."

Saat fikiran berkecamuk, iman mengingatkan, "Di sekelilingku petunjuk."

Saat dalam petunjuk, iman tersenyum, "Bertenanglah."

Saat dalam ketaatan, iman menyahut, "Istiqamahlah."

Saat sakit, iman mengucapkan, "Bertahanlah."

Saat Sakaratulmaut, iman mendambakan, "Jannah."


Sabar menghadapi ujian adalah sebesar-besar erti sabar dimana sabar itu memerlukan kesabaran.. Adanya ujian adalah kerana adanya perhatian dan kasih sayang Allah.

Dikisahkan dalam Miskaatul Anwaari bahawa Samnun telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita apabila dia telah tua. Kemudian dia telah dikurniakan seorang anak oleh Allah SWT. Samnun sangat sayang kepada anaknya.

Pada suatu hari Samnun telah bermimpi, dalam mimpinya dia melihat bahawa Kiamat itu telah tiba dan panji-panji para nabi dan wali bersinar, Samnun melihat di belakang mereka terdapat pula panji-panji yang paling tinggi dan cahayanya memenuhi ufuk, lalu Samnun bertanya kepada orang mengenai panji-panji itu, berkata mereka "Itu adalah panji-panji bagi mereka yang cinta dengan ikhlas terhadap Allah SWT"

Samnun menyedari bahawa dirinya juga berada di kalangan orang-orang lain yang berada bersama panji-panji tersebut. Tiba-tiba datang seorang malaikat menarik Samnun keluar dari kumpulan tersebut.

Samnun tidak berpuas hati dengan tindakan malaikat itu lalu dia berkata "Aku adalah orang yang mencintai Allah dengan ikhlas, dan panji-panji ini adalah bagi mereka yang mencintai Allah, jadi kenapakah kamu keluarkan aku dari kumpulan ini?"

Kemudian malaikat berkata "Memang betul apa yang kamu kata itu, tetapi kamu terlampau sayang terhadap anakmu, maka sebab itulah kami kami keluarkan kamu dari kumpulan orang-orang yang mencintai Allah"

Sebaik sahaja Samnun mendengar kata malaikat itu maka dia pun menangis sekuat-kuatnya di dalam tidur sambl berkata "Wahai Tuhanku, kalaulah anakku itu menjadi penghalang antara aku dengan kamu, maka aku tidak memerlukan dia, dan pisahkanlah anakku itu dari aku supaya aku dapat mendekatkan diriku kepadaMu dengan sebab kasih Engaku dan dermawan Engkau"
Setelah berkata demikian, Samnun mendengar orang berkata "Musibah"

Samnun tersentak dari tidurnya, lalu berkata "Apakah yang kamu memekik ini?"
kemudian berkata orang yang berada di situ"Sesungguhnya anakmu itu lah jatuh dari tingkat atas dan mati"

Samnun mendengar berita tersebut dengan tenang dia berkata"Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan penghalang daripadaku"
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(Surah AT-TAUBAH :24)
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepada-Mu perbuatan yang dapat mengantarku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih kucintai daripada diriku, keluargaku, dan air yang dingin (di padang yang tandus).” 


Biar semangatmu, citamu tinggi melangit, jika dibawa hujan, gunung sedia menyambut.

Tetapi pastikan selalu, hatimu rendah membumi, menampung hujan mengguyur dan kekal menyubur.


Monday, 2 December 2013

SEMPURNAKANLAH HIDUP KAMI

Ya Rabb, aku yakin Engkau telah merencakan sesuatu yang terbaik buat diriku yang tidak seberapa ini. Apa yang ku pinta Ya Rabb, agar segala rintih lirih pengaduanku menjadi sekeping DOA yang diterima.

Munajatku padaMu Tuhan
Ampuni dosa ku masa silam
Sempurnakanlah kehidupanku
Murahkan rezeki dengan nikmat-Mu

Jadikanku hamba bertaqwa
Tiang iman untuk agama

Munajatku padaMu Tuhan
Ampuni dosa sekalian insan
Sempurnakanlah hidup kami
Murahkan rezeki dengan nikmat-Mu

Jadikan kami hamba bertaqwa
Tiang iman untuk agama

Laaillahaillallah
Jauhkan aku dari siksaan
Api neraka yang panas
Membakar manusia ingkar di dunia

Muhammadurrasulullah
Terimalah ku jadi umatmu
Ku pohon syafaat darimu
Beratkan neraca pahala ku nanti

Aku aniaya...
Diri sendiri selamanya
Ku tak tertanggung...
Duka dan dosa silamku
Rintihan Taubat 1

Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengatahui (akan salahnya dan akibatnya).

(Ali Imran 133-135)

Rintihan Taubat 2


Rintihan Taubat 3

Mengikut Syeikh Abu Talib Makki, terdapat 10 syarat bagi seseorang yang taubat nasuha, iaitu:
1. Orang yang bertaubat itu tidak akan mengulangi melakukan maksiat lagi.
2. Sekiranya ia terlanjur melakukan mkasiat juga, maka ia tidak berlarut-larutan di dalam maksiat itu, tetapi ia segera bertaubat.
3. Ia mestilah berasa kembali kepada jalan Allah dan keredhaan-Nya.
4. Ia mestilah ada rasa kesal terhadap perbuatan maksiat yang telah dilakukannya.
5. Bersungguh-sungguh mahu istiqamah dalam ketaatan kepada Allah hingga mati.
6. Ia mestilahn ada rasa takut yang sebenar-benarnya  terhadap azab Allah.
7. Ia mestilah ada keyakinan  bahawa Allah sentiasa bersedia memberikan rahmat dan keampunan. Keyakinan tersebut dikenali sebagai  sifat roja’ atau mengharap rahmat dari Allah.
8. Ia mestilah mengakui bahawa dirinya itu adalah orang yang benar-benar berdosa.
9. Ia mestilah mengiktikadkan bahawa Allah telah mentakdirkan dirinya itu menjadi  orang yang melakukan maksiat dan Allah juga yang menentukan dan yang menghendaki ianya menjadi orang yang  mentaati Allah.
10. Ia mestilah melakukan amal-amal soleh setelah bertaubat itu supaya ia dapat menyempurnakan apa juga kekurangan yang telah berlaku. 
Rintihan Taubat 4


Rintihan Taubat 5

Berkata Syeikh Abu Said al-Kharraz: Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal soleh. 

Syeikh Muhyiddin Abdul Kadir al-Jailani berkata: DenganMu, kita tidak dapat sampai, sedang kami amat berhajat kepadaMu. Yakni, kita tidak dapat sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Ta'ala, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintahNya. 
Rintihan Taubat 6

Aku tidak takut doaku ditolak tapi aku lebih takutkan jika aku tidak diberi hidayah untuk terus berdoa." 
- Umar Al Khattab -

Wednesday, 27 November 2013

KEMANA KITA BISA LARI...

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !
Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai si polan yang dikasihi. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangunkan kita daripada angan-angan yang panjang mengenai nikmat hidup yang tak bererti tanpa sifat berkekalan. Dunia adalah permainan dan kehidupan sebenarnya bermula di akhirat, konsep percaya kepada alam barzakh iaitu hari kebangkitan yang mampu menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan.

Mustahil bagi manusia mengetahui empat hal ghaib, kelahiran dan kematian; rezeki; amal dan kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia yang termeteri di luh mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas.

Penerokaan akalnya tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen akal, jasmani dan rohani terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta memandangkan adalah dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat.
Kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara, begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini.

Rasulullah saw juga ada berpesan kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ini ialah mengingati mati. Amalan itu bukanlah bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan, lebih-lebih lagi Islam menyeru umatnya supaya membangunkan akhirat seimbang dengan pembangunan keduniaan sehingga kebajikan dan kebaikan itu meliputi kesemuanya.

Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah itulah yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Oleh demikian, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Seandainya terjadi hari kiamat dan di tangan salah seorang kamu ada biji benih kurma, maka hendaklah dia menanamkannya.” (Riwayat Ahmad).

Sehubungan itu, Baginda memuji sesiapa yang sentiasa mengingati mati dalam diari hidupnya sehingga dianggap oleh Rasulullah sebagai orang paling bijaksana di kalangan orang Mukmin. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk mengadap Allah selepas mati.

“Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Riwayat Tirmizi).

Dalam satu hadis lain, Rasulullah menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan mengingati mati sebagaimana berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan.

“Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Mafhum yang tersurat dan tersirat daripada dua hadis itu jelas menyimpulkan bahawa fitnah dunia ini iaitu daripada isteri, anak pinak, harta, pangkat, keturunan dan sebagainya selalu mengabui pemikiran dan pandangan hidup manusia, di samping sentiasa melalaikan dan melekakan manusia daripada matlamat hidup sebenarnya.

Oleh sebab itulah, Rasulullah sentiasa menganjurkan umatnya supaya selalu mengingati mati kerana amalan itu akan membuatkan manusia sedar bahawa pesona atau fitnah dunia yang menghiasi alam ini hanyalah permainan dan gurauan senda bersifat sementara.

Ini bermakna, harta yang dicari akan hilang atau habis juga akhirnya. Anak dan isteri akan ditinggalkan juga apabila maut datang menjemput seseorang manusia. Pangkat dan keturunan pula akan luput ditelan bumi.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam yang bermaksud: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan liar durjana). Akan tetapi, Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

“Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi Maha Melihat dengan nyata.” (Surah asy-Syura, ayat 27).

Dengan mengingati mati, seseorang Muslim akan sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari bahawa Allah Maha Memerhati dan Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada waktu terang-terang atau sunyi.

Dengan mengingati mati juga akan mengurangkan panjang angan-angannya, menjauhkannya dari fitnah dunia yang mempesona dan membersihkan hatinya daripada terpalit dengan sifat sombong dan tamak.

Seterusnya, mengingati mati akan menjadikan seseorang Muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas. Mereka memiliki semangat waja dan beristiqamah dalam menelusuri titian hidup yang penuh pancaroba dan hatinya akan sentiasa bergantung harap hanya kepada Allah.

Apa yang diimpikan dalam dasar jiwa seseorang yang beriman kepada Allah melalui amalan mengingati mati ini ialah mengharapkan agar apa yang dijanjikan Allah kepada orang beriman iaitu keredaan Ilahi dan kebahagiaan abadi dunia dan akhirat.

Perlu diinsafi bahawa jemputan maut akan datang pada bila-bila masa tanpa mengambil kira masa sihat atau masa sakit, masa senang atau masa susah, masa muda atau masa tua, lelaki atau perempuan, masa kaya atau masa miskin dan masa lapang atau masa sibuk.

Malah maut tidak akan terlewat atau cepat daripada ketentuan ditetapkan oleh Allah di Loh Mahfuz.

Maut menjadi satu rahsia yang hanya diketahui Allah sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat mengenai hari kiamat.

“Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya mengenai apa yang terkandung dalam rahim (ibu yang mengandung).

“Dia tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Lukman, ayat 34).

Justeru, setiap insan sewajarnya menginsafi diri bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan apabila sampai masanya nanti, setiap individu akan dipanggil menghadap Allah.

Alangkah beruntungnya insan beriman dan bersiap sedia menghadapi hari kematian dengan amal soleh dan ketakwaan kepada Allah.

Sebaliknya, rugi dan malangnya orang yang mengingkari kepastian hari akhirat dan tidak beriman kepada Allah, yang tiada lagi peluang kali kedua atau seterusnya untuk kembali ke dunia.
Kehidupan di dunia hanya sekali bagi setiap insan dan kehidupan yang sebenarnya kekal abadi ialah kehidupan pada alam akhirat nanti


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...