Pages

Saturday 24 September 2011

MUKMIN BERKORBAN, MENGAKAR IKHLAS, MENUNJANG CINTA

Mari kita bersama mengimbau kembali  betapa syiar korban terasa hidup dan kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail begitu akrab di hati...
Korban bukan cerita binatang apa, bukan cerita berapa banyak haiwan yang perlu dikorbankan, atau cerita sup dan rendang, tetapi korban adalah cerita tentang kualiti. Kualiti yang dimaksudkan adalah ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan keikhlasan dalam melakukan ibadah. Ibadah Korban adalah puncak kepada segala ibadah seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Kita maklum bagaimana Nabi Ibrahim diarahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail dan setelah Nabi Ibrahim memberitahu perihal itu kepada anaknya, maka Nabi Ismail lekas-lekas memberi pengukuhan agar Ibrahim melaksanakan suruhan itu tanpa gentar dan ragu (rujuk surah al-Saafat : 102-107).

Betapa dalam kisah itu kita disuguhkan dengan pengertian taqwa melalui pengukuhan Tauhid dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Ismail. Bagaimana mereka menurut perintah tanpa rasa gentar dan ragu. Amatlah penting untuk kita menjadi Mukmin Tauhidik, iaitu penolakan sepenuhnya dari bertuhankan hawa nafsu atau diri sendiri, penolakan mutlak dari bertuhankan darah dan keturunan, dan penolakan sepenuhnya inilah yang akan membentuk rasa cinta yang tulus kepada-Nya, tanpa syarat.

Sejarah telah membuktikan bahawa manusia yang bertuhankan nafsu, bertuhankan darah dan keturunan menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran di atas muka bumi. Firaun dan Qarun dua manusia yang bertuhankan nafsu, hidup bergelumangkan harta benda dan pangkat, akhirnya jatuh tersungkur dalam azab Allah s.w.t.

Pengorbanan itu Cinta

Cuba lihat dengan mata hati siapa yang telah banyak berkorban untuk kita selama ini. Tarik nafas dan himbau kembali diri kita sebelum kita diciptakan. Kita tidak wujud, tetapi Dialah yang telah menciptakan kita kepada wujud. Dialah yang meminjamkan roh, dan segala macam nikmat kepada kita sehinggalah apa yang kita miliki pada hari ini. Namun, berapa ramai yang kufur kepada-Nya, dan begitu ramai pula orang Islam yang tidak bersyukur. Firman Allah s.w.t :

"Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya." (al-Baqarah : 28)

Kemudian, cuba kita imbas semula sejarah sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Di sanalah dua orang insan yang selalu berkorban segalanya untuk kita, tanpa mahu walaupun seekor semut kecil menjalar dan menggigit tubuh kita yang kerdil. Dua insan yang menjadi asbab kepada kewujudan kita pada hari ini, merekalah yang bernama ibu dan ayah. Segala pengorbanan mereka tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata atau apa-apa sahaja bentuk materi, dan sesungguhnya mereka tidak pula meminta untuk dibalas, kerana tentulah itu semua telah memberi gambaran tentang makna sebenar sebuah cinta.

Hitunglah berapa ramai insan-insan yang banyak berkorban untuk kita, supaya kita tekal mendoakan mereka dalam kebaikan. Dan teruskanlah berkorban untuk insan-insan yang kita sayangi pula, dan jangan lupa lakukan pengorbanan dengan rasa cinta. Pengorbanan yang lahir atas dasar cinta akan menyebabkan kita seolah-olah tidak berasa kehilangan apa-apa pun di atas pengorbanan itu, malah rasa bahagia, puas dan ria akan muncul dalam kalbu melihat kegembiraan orang lain. Dalam usaha menggapai bintang, jangan dilupakan orang-orang di sekeliling yang telah banyak berkorban untuk kita. Saya terpikat dengan kata-kata ahli falsafah Albert Schweitzer ini - in the hopes of reaching the moon men fail to see the flowers that blossom at their feet.

Ikhlas kerana Allah

Songsonglah hatimu agar selalu bermuhasabah tentang ikhlas. Keikhlasan itu pentadbirnya adalah hati, maka pastikanlah hatimu selalu bersih dengan ilmu dan ibadah yang sahih. Hanya kita yang dapat menilai dan menghitung hati sendiri. Hitunglah hati sebelum ia dihitung di hadapan Allah s.w.t kelak.

Apabila pengorbanan dipacak berpaksikan kebergantungan terus kepada Allah, maka di situlah akan hadirnya kekuatan sabar menghadapi, dan munculkan keadaan redha dalam hati. Oleh itu, hadapkan dan hadirkan hati terus kepada Allah atas segala apa yang ingin dilakukan, barulah amalan itu akan dinilai sebagai suatu ibadah. Insya-Allah, segala pengorbanan yang dilakukan akan dinilai sebagai kebajikan di sisi-Nya.

Pastikan pula setelah melakukan sekian banyak pengorbanan itu, jangan pula mengeluh jika terpaksa mengulangi pengorbanan demi pengorbanan yang sama, agar tidak pula sia-sia segala kesusahan dan perit jerih dek keluhan dan omelan. Tahan kekeluhan dalam hati, ubati hati bahawa inilah kebajikan untuk Akhirat, dan bekerja untuk Akhirat balasannya tidak segera, hanya perlu percaya, kerana percaya itulah iman.

Selamat menjadi Mukmin yang berkorban, menyempurnakan makna "kualiti", kerana tiada ibadah tanpa keikhlasan dan tiada kualiti tanpa ketaqwaan.

Pengorbanan itu akarnya ikhlas, tunjangnya cinta. 




Sunday 18 September 2011

HAKIKATNYA KITA TIDAK PERNAH TERPISAH

 Apabila dua orang ditakdirkan bertemu, pasti perpisahan akan kunjung tiba dan menerjah ruang yang sering diisi dengan riang tawa, senda gurau dan tangis hiba, saat akrab bersama.

Apabila semua orang berkata bahawa perpisahan itu lumrah, maka ini bermakna bahawa perpisahan itu pasti dan setiap kita mesti akan mengalami perpisahan. Sama ada perpisahan sementara yang boleh mengundang pertemuan semula, atau pun perpisahan selamanya dengan nama kematian. Namun, perpisahan tetap menjadi pasti kerana kita semua tentu akan merasai mati.



"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu." (Ali Imran : 185)

Apabila berpisah, kita sering membicarakan tentang sakit dan peritnya rasa orang yang ditinggalkan, tetapi jarang benar kita mendalami tentang sakit dan peritnya orang yang meninggalkan. Kadang-kadang orang yang meninggalkan itu lebih perit dari yang ditinggalkan. Namun, anggaplah perpisahan yang terjadi sebagai tarbiah dan memenuhi maksud hijrah, ke arah kemajuan dan perubahan yang lebih baik. Insya-Allah.

Menguji keteguhan hati

Sesungguhnya makna perpisahan itu hakikatnya mengakrabkan, kerana melalui perpisahan itu kita akan sentiasa belajar menghargai. Kehilangan sesuatu menerjah akal supaya kita sentiasa ingat dan menghargai saat sesuatu itu ada di sisi. Apabila kita kehilangan kunci misalnya, ketika kita sangat memerlukannya, barulah kita sedar tentang kepentingan dan kebergantungan kita terhadapnya. Namun, bukanlah kita sedar tentang kepentingan jasad kunci itu semata-mata, tetapi kita celik tentang kepentingan kegunaan kunci itu sebagai asbab keselamatan barang-barang kita.

Sepertimana kita mempunyai ibu, ayah, isteri, suami, sahabat handai dan seluruh kenalan, bukanlah ketika mereka tiada, ingatan kita hanya tertumpu kepada jasad mereka sahaja, tetapi lebih terarah kepada kasih sayang yang tumpah, tanggungjawab dan amanah yang tertunai, budi yang ditabur dan segalanya itu bersatu menyuguhkan kenangan yang sukar dilupakan, lantas menimbulkan sebak di dada.

Ya, perpisahan itu hakikatnya menguji keteguhan hati, mencelikkan akal, dan apabila bertemu, kita akan lebih menghargai, lantas perhubungan menjadi lebih akrab.

Cuma perpisahan jasad

Apabila berlaku perpisahan cuba jawab persoalan ini - apakah kita hanya menyayangi dia kerana jasadnya sahaja?

Sudah tentu jawapannya tidak, kerana mengasihi jasad semata-mata sangat khilaf dengan makna cinta yang sejati. Jika hanya jasadnya sahaja yang kita kasihi, maka kita perlu sama-sama kembali untuk koreksi makna cinta kita kepadanya. Kita sering sahaja melihat pergaduhan, penceraian, dendam dan iri yang berlaku dalam kalangan ummah kerana kebanyakan kita belum betul-betul faham dan kenal dengan makna cinta dan ukhuwwah, yang sebenar-benarnya perlu dibatasi dalam mandala "kerana Allah". Jika hanya jasad yang rapat, tetapi hati jauh terpisah, kita sebenarnya berada dalam pembohongan.

Kita cinta kepada Allah, kerana kita tahu Allah itu ada, walaupun kita tidak melihat-Nya, tidak mendengar-Nya. Kita cinta kepada Rasulullah s.a.w, walaupun kita tidak pernah melihat baginda, menyentuh baginda, mendengar ajaran baginda, dan bukankah ini makna seagung-agung cinta?

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (At-Taubah : 24)

Apabila perpisahan menjadi lumrah, bukankah itu menunjukkan bahawa kita hanya hamba yang lemah dan sentiasa bergantung. Kita sentiasa berfikir bahawa apa yang kita miliki itu hanya sementara dan hakikatnya tiada yang menjadi milik kita. Malah, diri kita sendiri adalah milik-Nya. Tiada yang kekal, melainkan hanya Allah.

Lantas fikiran diterjah dengan sifat dunia, yang sementara cuma. Sifat dunia yang fana dan tidak kekal. Sifat dunia yang tiada harga, melainkan cuma main-main. Sifat dunia yang wasilah, buat menyemai bekal manfaat untuk Akhirat.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah, antara tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan-Nya, antaranya ialah; dua orang yang saling mengasihi kerana Allah, iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.

Justeru, hakikat dua orang bersaudara yang bertemu dan berpisah kerana Allah itu tidak pernah berpisah, kerana hatinya sering terikat dalam kasih sayang, sentiasa terpaut pada bakti dan budi, selalu tersimpul pada tanggungjawab dan amanah. Sentiasa ingat pada makna ukhuwwah dan persahabatan.

Ingatan pada jasad, jasad akan lebur dan musnah. Ingatan pada minda, minda itu selalu lupa dan leka. Maka ingatkanlah pada hati, kerana hati itu ibarat tanah yang subur, yang perlu dibenihkan dengan niat kerana Allah, pahit manis ukhuwwah dalam zikir dan fikir. Walaupun jasad terpisah, tetapi hati tetap berpaut.

Ya, bukankah dua orang yang berpisah kerana Allah itu, hakikatnya mereka tidak pernah berpisah? 

JAUH, BUKAN SEMATA-MATA RINDU

Dua orang saudara atau sahabat yang saling mengasihi kerana Allah memiliki hati yang bersih dan sentiasa bersifat tawaduk. Mereka sentiasa berasa rendah hati dan merasakan dirinya bukan apa-apa berbanding sahabatnya, maka persahabatan atau persaudaraan yang dijana akan sentiasa mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t. Kesempurnaan kasih sayang, keikhlasan dan kesetiaan dalam ukhuwah dan persahabatan akan terbukti apabila dua orang sahabat atau saudara itu berjauhan di antara satu sama lain. Amat mudah memperlihatkan kebahagiaan dan kasih sayang apabila saling bertemu, tetapi bagaimana pula pernyataan mahabbah ini boleh berterusan apabila kedua-duanya terpisah?

Dalam Islam, apabila dua orang saling mengasihi kerana Allah, maka kemanfaatannya tidak hanya diperolehi oleh sebelah pihak, malah kedua-duanya mendapat ganjaran di sisi Allah s.w.t. Inilah nilai keikhlasan, kesetiaan dan istiqamah dalam merealisasikan Ukhuwah Fillah.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya dari kejauhan akan dikabulkan, di kepalanya ada malaikat yang diwakilkan, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya, malaikat tersebut berkata : Amin! (semoga Allah mengabulkan), dan untukmu kebaikan yang sama."

[Riwayat Muslim dalam Sahihnya]

Maka, apabila berjauhan, berdoalah untuk sahabat dan saudaramu.

Bukan semata-mata rindu! 

MUHASABAH KEDUDUKAN-NYA DI HATI KITA

Cuba kita muhasabah, di mana kedudukan Allah di hati kita.

Dulu, semasa kita sakit, pedih dan perit, kedudukan Allah sangat tinggi dalam hati. Dulu, semasa kita sempit, sesak dan terdesak, kedudukan Dia sangat tinggi dalam benak. Di hati, benak dan lidah, hanya terlafaz kalimah, "Allah, Allah, Allah."

Kini, semasa kita sudah sihat dan kembali cergas, kedudukan Allah sangat rendah dalam hati. Kini, semasa kita lapang dan luas, kedudukan Dia begitu rendah dalam minda. Malah, di hati, minda dan lidah, kita sudah lupa kalimah-kalimah mengingati-Nya, lupa memaknakan syukur.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan rupa paras yang cantik, tapi lupa bahawa Allah yang menjadikannya cantik, dan Allah membataskan kepadanya bahawa kecantikan itu hanya buat yang berhak menikmatinya.

Ada dalam kalangan kita yang cuba mencari kebahagiaan dengan berniaga bersungguh-sungguh, mengumpul wang dan harta, tapi lupa bahawa Allah yang memberi kebahagiaan, dan Allah membataskan kepadanya bahawa segala kekayaan itu buat saudara-saudaranya yang tidak mampu melalui zakat dan sedekah.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita dan mereka terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan ilmu yang banyak, tapi lupa bahawa Allah yang membuka hatinya menerima ilmu, Allah membataskan kepadanya bahawa segala ilmu itu perlu diamalkan dan dikongsikan bersama saudara-saudaranya yang lain.

Ada dalam kalangan kita yang bermegah-megah dengan amal yang tidak putus, tapi lupa bahawa masuknya seorang hamba itu ke dalam syurga bukan kerana amal yang banyak, kerana segala nikmat pinjaman-Nya tidak akan terbayar, tidak terhitung, tapi masuknya seorang hamba ke syurga kerana rahmat dan kasih-sayang daripada-Nya.

Namun, pada hari ini, saat saya menulis dan anda membaca tulisan ini, kita dan mereka terus mengecapi kurniaan nikmat-Nya, tanpa henti.

Jika Allah mahu kecantikan itu untuk kita, maka tiada tangan-tangan yang boleh menghalang, tiada kuasa yang boleh menahan, kecantikan itu akan datang, walaupun bukan dengan paras rupa yang cantik.

Jika Allah mahu kebahagiaan itu hadir untuk kita, maka tiada tangan-tangan yang mampu menghalang, tiada kuasa yang akan menahan, kebahagiaan itu akan datang, walaupun bukan melalui wang dan harta yang melimpah.

Dia akan menjadikan kecantikan itu dalam hati kita, sehingga semua orang terasa dekat, semua orang suka dan semua orang sayangkan kita.

Atau kadang-kadang kita tidak merasakan kita cantik, semua orang jauh daripada kita, semua orang membenci kita, tapi hakikatnya kita sentiasa cantik pada pandangan-Nya.

Dia menjadikan kebahagiaan dalam hati kita, dengan tidur yang lena, makan yang kenyang, hati yang tenang dan aman, walaupun bukan dalam kemewahan harta benda.

Atau mungkin kita tidak bahagia menurut ukuran pandangan orang lain, tapi Dia akan memberikan bahagia buat kita di sisi-Nya.

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum?

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w menangis mengenangkan nasib umatnya?

Apakah kita sedar bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa mengingati kita sehingga saat kewafatan baginda?

Apakah kita sedar bahawa cinta Rasulullah s.a.w kepada kita tidak pernah hilang dalam hati baginda?

Teman-teman, kita bukan siapa-siapa, bukan apa-apa, tanpa kasih baginda dan cinta-Nya kepada kita. 

SEBUAH UNGKAPAN BERNAMA "ISTIQAMAH"

Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah.

Istiqamah itu adalah teguh di atas jalan yang lurus, seperti kata Saidina Umar bahawa istiqamah itu adalah berdiri mematuhi suruhan dan menjauhi larangan Allah tanpa berubah-ubah.

Justeru amal perbuatan yang kita lakukan sehari-hari harus sentiasa teguh di atas jalan yang benar, supaya dinilai sebagai suatu ibadah. Niat yang baik harus sentiasa berada di atas jalan yang teguh tanpa berubah-ubah supaya menjadi sebaik-baik amalan di sisi-Nya. Pendek kata, tunjang kepada segala kebaikan dan kebenaran terletak pada sejauh mana istiqamahnya kita melakukannya.

Orang yang hatinya sentiasa teguh dan istiqamah, akan sentiasa berada dalam kawalan iman, dan nafsunya dirahmati oleh Allah. Dia sentiasa berwaspada dengan niat, lisan dan perbuatan yang dilakukan supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hati yang istiqamah ini adalah hati yang kuat, bermotivasi dan sentiasa berani mempertahankan kebenaran. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa hati yang istiqamah adalah hati yang sentiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah, baik berupa keyakinan, perkataan, mahupun perbuatan.

'Istiqamah' kalimah azimat

Cuba ulang-ulang kalimah istiqamah setiap kali kita telah berniat untuk berubah dan melakukan kebaikan. Ulangkan istiqamah dalam hati dan lisan supaya ia menjadi doa dan pelindung kepada segala cabaran yang akan hadir untuk menguji ketulusan niat tadi.

Sebagai contoh kita telah menetapkan untuk bersedekah sebanyak 100 ringgit, tetapkan niat dan ulangkan istiqamah di atas niat tadi. Setelah tiba di masjid misalnya, maka kekalkan maksud istiqamah dalam hati dan fikir, seterusnya susuli melalui tindakan dengan cepat-cepat mengeluarkan RM100, kemudian memasukkannya ke dalam tabung masjid.

Begitu juga apabila kita telah meletakkan sasaran ke atas suatu usaha yang baik, contohnya menghabiskan satu bab bacaan pada suatu malam, maka ulang-ulang kalimah istiqamah di alam fikir, sehingga menamatkan pembacaan. Kalimah istiqamah berupaya menjadi terapi yang baik terutama tatkala kita berhenti sekejap dari membaca untuk ke tandas misalnya, kerana pada waktu itulah kita akan diuji, sama ada untuk meneruskan pembacaan sehingga habisnya satu bab, atau menonton televisyen dengan judul filem yang menarik pada malam itu.

Istiqamah memimpin kita membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan.

Istiqamahnya semut

Perhatikanlah semut yang merangkak, beratur dengan penuh tertib menuju ke tempat yang manis dalam rumah kita. Tidak cukup dengan semburan beracun, malah acap pula kita bersihkan dengan sabun berulang kali, tapi mereka tetap datang tanpa putus asa.

Perhatikanlah semut membawa makanan yang lebih besar dari tubuhnya sendiri. Istiqamah menuju sarang, bukan untuk diri sendiri, tetapi merealisasikan sikap memberi.

Perhatikanlah semut yang tidak mempunyai akal, tetapi fikiran dan tindakan mereka sentiasa dipacu dengan sebuah ungkapan bernama "istiqamah".

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya, sabda Rasulullah s.a.w :

Daripada Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya Rasulullah s.a.w, "Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya kepada sesiapa selain engkau." Jawab Nabi s.a.w, "Katakan, aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah." 

Saturday 17 September 2011

DAKWAH ITU INDAH...

Memang susah untuk kita puaskan hati semua orang..lebih-lebih orang yang rapat dengan kita..seandainya ukhwah itu tidak mendekatkan kita kepada NYA maka muhasabahlah dan koreksi sejenak apa sebenar keperluan ukhwah itu sendiri..bukannya ukhwah terbina berdasar paksaan dan bukan jua memenuhi KEPERLUAN ..tapi ingatlah wahai saudaraku kelemahan itu memang mengaibkan tetapi mencari kelemahan sesama kita itu adalah lebih mengaibkan..jangan terlampau memandang kesempurnaan dan berselindung dalam kebenaran..sesungguhnya dakwah itu adalah kewajipan dan kewajipan itu perlulah bil`hikmah..jangan biarkan EGO bertakhta"(akulah yang pelajari agama!!!,aku mesti mencegah mungkar!!!bang!!berduaan ni tak boleh haram!!!ish.kakak ni x tutup aurat ar..nie confirm neraka nie!!!)ADAKAH ITU DAKWAH?ADAKAH DAKWAH DILAKUKAN TERKESAN?..YA.. betul.. memang berlakunya seruan tetapi adakah dakwah itu diterima sebagai paksaan atau kesedaran?itulah yang membezakan dakwah tadi dilakukan secara TERKESAN dengan BERKESAN..ingatlah bagaimana nabi ALLAH yang AGUNG menyusupkan Islam itu ke dalam sanubari para sahabat dan kita dapat lihat keteguhan iman mereka.ADAKAH INI YANG KITA LAKUKAN?sahabat sekalian marilah kita renung kembali APAKAH KEMAKMURAN YANG KITA TELAH LAKUKAN DI BUMI INI SEBAGAI KHALIFAH YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN?..contohilah sifat kerendahan,keikhlasan,kejujuran dan rasa kehambaan baginda terhadap MAHA PENCIPTA..bukan paksaan dalam kebenaran dan bukan kerendahan yang menjadi ukuran..sesungguhnya DAKWAH itu BIL`HIKMAH..INSYaALLAH.."SERULAH KEPADA KEBENARAN dan JAUHILAH KEMUNGKARAN"..:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...