Wahai saudaraku yang
dikasihi, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan
Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman
kepada Allah sebagaimana firmanNYA :
“Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman“
(Surah Al-Imran:175)
Wahai saudaraku, menangis
kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan
penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolak
bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan
janjiNYA yang berbunyi :
“Dan
bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga”
(Surah Ar-Rahman:46)
Seorang Khalifah yang agung
di muka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratap
akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan
Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah s.a.w. , para sahabat
r.a. , para tabi`in dan tabi`tabi`in , semuanya bercucuran air mata kerana
takutnya mereka kepada Allah.
Rasulullah s.a.w. sendiri
menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan
syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w. duduk
bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah
sekumpulan manusia seraya bersabda “Apakah
yang sedang mereka lakukan?” Salah seorang dari sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk
mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia.”
Sebaik mendengar jawapan
itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para
sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung
berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda
Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka
melihat Rasulullah s.a.w. menangis sehingga air mata menitis ke pipinya
kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai
saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa
seperti hari ini (kematian).“ Begitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia.
Bagaimanakah dengan kita sebagai
umatnya???
Menangis kerana takutkan
Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih,
menempatkan kita di dalam syurgaNYA dan menikmati segala kenikmatan yang tidak
dapat dibayang oleh akal fikiran. Ubai Bin Ka`ab berkata, “Kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bukan
termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan
Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut seksaanNYA. Maka orang
seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya”. Orang yang
memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan
ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada seksaan Al-Muntaqim.
Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun
dari pohon yang ditiup angin.
Hisablah diri kita sejenak,
bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa
kita??? Bilakah kali terakhir pipi dibasahi dengan linangan air mata
keinsafan??? Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala
sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap
dosa.Insya Allah…..
“Ketika kamu lahir, kamu menangis dan orang disekelilingmu
tersenyum.
Jalanilah kehidupanmu
sehingga nanti, ketika kamu mati,
kamu tersenyum dan orang disekelilingmu menangis sedih”
Menangislah Wahai Saudaraku…