Pages

Friday 1 June 2012

MENGHADAP HARI ESOK



Pernahkah terlintas di benak kita bahawa kitalah pelakon yang sedang beraksi di pentas dunia ini? Kita menangis ,ketawa ,gembira ,berduka , tenang dan gelisah sehingga tiba saatnya ,kita menjadi kaku tanpa apa-apa aksi. Selagi kita bernafas ,kita terus berlari dan merencahi perjalanan dengan segala watak yang kita sendiri menjadi penulis skrip ,pengarah ,penerbit serta pelakonnya.

Perkampungan dunia hanya sebuah persinggahan sebelum kembali ke daerah akhirat yang kekal abadi. Kita bercucuk tanam dengan bekal amalan untuk perjalanan jauh yang bakal diredahi liku ranjaunya. Dalam perjalanan itu ,kita ditujah ujian dari Yang Maha Pencipta sebagaitiket menginap di syurgaNYA yang kekal abadi. UjianNYA bersifat pelbagai. Ada susah ,ada senang ,ada derita ,ada kebagagiaan. Pelbagai rencah yang mengharungi kita setiap masa. Tuhan memberi kita dua panduan untuk dirujuki iaitu Al-Quran dan Sunnah. Hanya keduanya dapat memimpin kita menjadi pelakon yang mengikut skrip dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Pernahkah kita renungi ,bagaimanakah kehidupan kita diakhirat nanti? Tentula ia kehidupan yang kekal abadi kerana tiada lagi kematian selepas kematian di dunia. Terbayangkah kita episod yang bakal direntasi di alam barzakh iaitu sesi bersoal jawab dengan malaikat Mungkar dan Nangkir ,juga saat perhitungan amalan di Padang Mahsyar? Kita pasti akan melalui titian Siratul Mustaqim untuk menentukan sama ada kita tinggal di syurga atau neraka. Neraca Mizan menjadi perhitungan segala aksi dan babak yang kita lakonkan semasa di dunia.

Bagi penghuni neraka ,bersedialah untuk berdepan dengan penjaganya yang bengis dan tidak pernah tersenyum. Dia diciptakan oleh Allah dengan tidak ada perasaan belas kasihan dan simpati kepada sesiapa. Kepalanya memenuhi ruang langit manakala kakinya seluas isi bumi. Dialah yang benama Malik Zabaniah ,makhluk ciptaan Allah paling kasar dan buruk. Lintasnya menggerunkan api neraka kerana bahangnya lebih panas dan membara. Di dalam peristiwa Isra` Mikraj ,sewaktu Nabi melawat neraka ,saat Nabi memberi salam kepada Malik Zabaniah ,dia menjawab salam namun tiada ukiran senyuman diwajahnya. Melihatkan itui ,kata Jibril a.s. yang mengiringi Rasulullah s.a.w. , "Janganlah Baginda Rasul bersedih ,justeru dia tidak melemparkan senyuman kepada kamu ,kerana ia tidak pernah tersenyum semenjak Allah menciptakannya”.

Kita teruskanlah rentak lakonan di dunia selagi tidak dijemput pulang. Beruntunglah bagi mereka yang tekun mengerjakan amalan kebaikan dan merindui kehidupan akhirat . Mereka akan bertemu dua kekasih utama iaitu Allah dan Rasul. Mereka akan memadam segala sengsara dan derita yang dihujani ketika di dunia .Meraka akan tenggelam dalam lautan nikmat yang kekal abadi di akhirat. Mereka bahagia kerana menjadi pelakon yang taat dan patuh kepadaNYA.

Dan bagi insane yang alpa dan leka ,kehidupan akhirat ibarat sandiwara dan dunia menjadi syurga. Kehidupan diterkam dengan rakus dan bebas tiada batasan. Mereka merompak anugerah Allah dengan perbuatan maksiat dan perlakuan zalim. Malah ,mereka tidak malu mengaku diri lebih hebat daripada Tuhan Pencipta. Nah!Selamat bertemu dengan Malik Zabaniah yang bakal merungkai segala kesombongan dan kejahatan yang dilakonkan semasa hidup.

Renungilah masa depan kita yang belum pasti jalan penghujungnya. Keraplah mengalirkan air mata kerana selalu berbuat dosa sebelum terlambat. Setitik air mata di dunia kerana takut pada kemurkaan Tuhan lebih berharga daripada sekawah air mata di akhirat yang tidak memberi erti lagi. Hari esokmu yang masih ada ,semaikanlah dengan baja iman dan taqwa agar terjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...