Pages

Monday 11 November 2013

HATI YANG HIDUP

Manusia itu fitrahnya inginkan sebuah kebebasan...

Sedarlah..hanya meletakkan Allah nombor SATU dalam hidup, kita bebas daripada segala bentuk penghambaan kecuali kepada Allah yang menciptakan.

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kecelakaan dan ketaqwaan."
                                                                                                                                                         (As-Syams : 8)
 
Tiada yang terindah dalam hidup ini jika kita benar-benar berada dalam kesyumulan Islam.

Keindahan yang membahagiakan itu tentulah apabila kita berada sepenuhnya dalam cara hidup Islam melalui semua sistem kehidupan, tanpa dipisah-pisah dan dijuzuk-juzukkan.

Apabila seseorang itu sujud, dia tidak hanya perlu menjaga rukun-rukun sujudnya semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah kesan sujud itu, rasa kehambaan dan rendah hati yang wujud apabila sujud itu dilakukan. Begitu juga dengan Takbiratul Ihram, bukan saja pergerakan dan lafaznya sahaja, tetapi yang lebih penting ialah rasa takut, tunduk dan patuh kepada Allah itu timbul dan terus menerus terbit dalam hati.
Selalu merasakan bahawa diri kita ini bersalah, banyak dosa dan khilaf dengan Allah. Lantas akan mengingatkan kita kepada sunnah Rasulullah yang belum cukup kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari. Rasa bersalah dan berdosa ini penting supaya hati kita dipenuhi dengan rasa ingin kembali (rajak) kepada-Nya, bertaubat dan memohon pengampunan dari-Nya.

Diri yang selalu rasa bersalah ini akan terus berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa, menemui ketenangan dalam usahanya meraih rahmat dan kasih sayang Allah. Rasa bersalah ini akan membuatkan kita terus tegar menyelak lembar-lembar seerah baginda s.a.w supaya setiap apa yang baginda lakukan akan sentiasa hidup dalam hati, lisan dan perbuatan.

Diri yang bersalah ini akan sentiasa berasa rendah hati dan tawaduk, sentiasa memandang orang lain lebih mulia daripadanya, tidak memandang buruk orang yang melakukan dosa dan tidak menafikan hak orang lain untuk bertaubat. Orang yang rasa bersalah ini akan sentiasa memaafkan, hatinya lapang dan bertasamuh.

Rasa bersalah ini perlu disertai dengan proses taubat, zikir dan fikir akan kebesaran-Nya, supaya rasa ini tidak pula membelenggu hati sehingga menyebabkan kemurungan dan menyendiri.

Buktikan cinta dengan rasa bersalah, kerana rasa inilah rasa 'ubudiyyah, terbit dari rasa kita sebagai seorang hamba, lantas kita akan memperkasa ibadah, ilmu dan amal.
Niat adalah aspek 'dalaman' atau batin dalam diri kita. Tanpa niat, ia ibarat jemari yang tiada ibu jari. Sukar untuk kita menggenggam 'pahala' dalam segenap perbuatan kita.

ATAU

Mungkin zahirnya kita kelihatan menggenggam, tetapi genggaman kita tidak sempurna kerana kita hanya menggenggam 'luaran' atau zahirnya sahaja. Kita ibarat seseorang yang berjalan dalam tidur, bermimpi dan mengelamun. Orang yang hidup tanpa sedar.
 

 Dalam hidup ini tanpa niat yang betul, walaupun genggaman zahirnya kita berjaya (dunia, kehormatan, pangkat) tetapi hakikatnya kita gagal menggenggam batinnya (pahala, jariah, Akhirat). Kita hanya menjadi pemimpi dalam lena yang enak. Kita perlukan niat, barulah genggaman yang zahir akan menjadi lebih bermakna.

Niat mengejutkan kita dari terus menjadi pemimpi.
Bangkanglah nafsu, maka hati kita akan terpandu!!!

Amalkan sunnah dan tadabburlah wahyu, kerana itulah tanda kalbu yang penuh rindu....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...