Pages

Thursday 29 May 2014

DENGAN IZIN-MU

Jauh yang mendekatkan

Jauh-jauh itu sebenarnya mendekatkan. Perpisahan itu mengakrabkan.

Apa sahaja yang bermaksud sama dengan nama "perpisahan" sebenarnya adalah ruang dan peluang untuk kita melihat diri dan kembali mengingati saat bersama insan-insan yang kita sayangi - anak, suami, isteri, ibu, bapa, kaum keluarga dan sahabat handai. Ruang jeda itu sangat bermanfaat kerana di situlah kita akan lebih mengenali siapa diri apabila bersama mereka. Kita akan sentiasa mengenang saat-saat kecelaruan dan kekhilafan kita kala bersama insan-insan yang kita sayangi ini. Sebetulnya itulah proses muhasabah, untuk kita kembali menghitung makna sebuah perhubungan dan ikatan. Kita akan kembali menghargai saat bersama, saat mereka ada, dan berharap dapat dipertemukan semula.

Jauh di sudut hati, kita tidak menginginkan perpisahan itu merupakan perpisahan selama-lamanya di dunia, yakni proses untuk kita atau mereka yang kita sayangi berhijrah ke alam Barzakh. Kemungkinan ini biasanya akan muncul dalam minda apabila berlaku perpisahan, dan sesungguhnya perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Maka jadikan doa sebagai amal rutin di sepanjang perpisahan itu. Jika perpisahan nyawa benar-benar berlaku, berdoalah agar kita akan bertemu mereka di Jannah, dalam keadaan yang tenang dan selamat di sisi-Nya.
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia bermohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah : 186)

Berdoalah, kerana doa akan memperkuat harapan, dan membenam segala prasangka kita terhadap Tuhan. Perpisahan itu menguatkan, dan tanpa perpisahan kita tidak akan menghayati makna sebuah pertemuan. 
Buat sekalian para pejuang...

"Cabaran dan dugaan lumrah
kehidupan
ketentuanNYA meredhakan
DIA menghendaki kebaikan dan 
kemuliaan
Rahmat dan kasih di sebalik pujian

Jangan ditangis,jangan disesal
Pada sebuah ketetapan
Rasailah,kecapilah...
Terselindung di sebaliknya
Sebuah hakikat lentera duga..."


“Ya ALLAH,Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu… Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah ikatannya Ya ALLAh… Kekalkan kemesraan Antara hati-hati ini bersama jalan-Mu yang sebenar… Penuhkan pelita hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap… Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keyakinan serta keindahan bertawakal kepada-Mu… wahai zat yang membolak-balikkan hati, hidup dan suburkan hati-hati ini dengan ma`rifat tentang-Mu, dan sekiranya Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai Syuhadak dalam perjuangan agama-Mu… kepada Engkaulah sebaik-baik sandaran dan Pemberi bantuan…”



1 comment:

  1. Semua manusia cuba lari dari kekecewaan,
    Tapi tidak pernah ada yang berjaya sepenuhnya.
    Semua manusia mencari kegembiraan,
    Juga tidak pernah ada yang berjaya sepenuhnya.

    Lumrah kehidupan,
    Fitrah para pencari tuhan,
    Antara nikmat dan ujian,
    Antara angkuh dan terkesan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...