Pages

Wednesday 9 November 2011

BUKAN SIAPA-SIAPA, YANG INGIN MENJADI SESEORANG

Saya bukan siapa-siapa, tetapi saya ingin menjadi seseorang, kerana sekiranya saya ingin mencipta sesuatu, saya perlu menjadi sesuatu.


Ya, kita semua bukan siapa-siapa di dalam kehidupan ini, tetapi setiap daripada kita selalu berusaha untuk menjadi seseorang dalam sesuatu bidang, sesuatu lapangan, atau apa sahaja yang kita ceburi. Apatah, kita mahu sentiasa menjadi seseorang dalam hati si dia yang kita sayangi.


Rasa ingin menjadi seseorang itu merupakan fitrah manusia, rasa inginkan perhatian, rasa mahu dikenali, rasa ingin menjadi itu dan ini, semuanya merupakan rasa yang tercetus daripada fitrah hidup seorang manusia. Apa yang menggerakkan seseorang berfikir sedemikian adalah daya imaginasi hasil dari rangsangan dan dorongan hidup masing-masing. Namun, amat penting bagi seseorang itu untuk mengenalpasti yang mana imaginasi dan yang mana angan-angan. Malah Albert Einstein pernah menyebut - imaginasi anda merupakan gambaran anda tentang kehidupan - your imagination is your preview of life.


Namun, sebagai Muslim, apa sahaja imaginasi yang memacu akal perlulah dimulakan dengan niat, sebelum disusuli dengan tindakan. Niatlah yang akan membezakan di antara adat dan ibadah. Niatlah yang akan menentukan kedudukan amal kita di sisi Allah.


Apakah yang lebih baik daripada kita menjadi seseorang di dalam bidang yang kita suka, atau menjadi seseorang di samping orang yang disayangi, berbanding menjadi 'seseorang' di sisi-Nya?


Imaginasi tanpa ilmu


Apabila seseorang berkarya, terutama dalam karya kreatif, peranan imaginasi sangat penting. Sebarang imaginasi yang dicurahkan dalam bentuk tulisan, jika dapat diolah dengan baik akan menjadi realistik dalam pemikiran pembaca. Pembaca akan terbawa-bawa bersama dalam struktur imaginasi yang dicipta oleh pengarang. Namun, sesungguhnya imaginasi tanpa ilmu itu sifar nilai. Imaginasi tanpa ilmu adalah seperti bermain bola sepak tanpa pintu gol. Seperti kata seorang pemikir Perancis, Joseph Joubert - seseorang yang berimaginasi tanpa belajar, mempunyai sayap dan tiada kaki - he who has imagination without learning, has wings and no feet.

Seorang Muslim yang berimaginasi tanpa ilmu, tanpa pengetahuan tentang syarak, ibarat mengheret dirinya ke arah dunia khayal dan seterusnya menyuburkan penyakit 'wahan' dalam hati sanubarinya. Imaginasi yang disuburkan dengan ilmu, akan menghasilkan produk yang bermutu, luhur dan yang paling penting mendapat 'kelulusan' daripada-Nya.


Firman Allah yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan." (Luqman : 6)


Ya, imaginasi tanpa ilmu, sia-sia, malah boleh mengundang azab.


Amanah menggunakan akal


Akal merupakan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Setelah Allah menciptakan nafsu atau syahwat sebagai ujian besar buat manusia, maka Allah ciptakan akal sebagai penyeimbangnya. Tidak cukup sekadar itu, Allah mengutuskan Rasul sebagai rahmat daripada kalangan kaum manusia sendiri sebagai wasilah kepada Risalah Wahyu, malah menjadi ikutan dan contoh yang boleh diikuti kerana para Rasul juga memiliki keperluan untuk hidup sebagai seorang manusia seperti makan, berkahwin, berkecindan dan segala macam seni kehidupan.


Islam meletakkan akal fikiran di tempat yang tinggi bagi manusia mentadbir bumi sebagai khalifah, berfikir tentang segala kejadian dan kesan ciptaan-Nya sehingga akhirnya mereka mampu mengenal Penciptanya. Contoh perbandingan kehebatan manusia sebagai khalifah ini Allah rakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud :


"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah (menerima amanah). Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr : 21)


Semakin tinggi akal seseorang, semakin luhur jiwanya untuk mengekang nafsu atau syahwatnya. Ini kerana kemuncak akal seseorang akan mengembalikannya semula kepada basis agama atau teras syariat iaitu Tauhid.


Menggunakan akal untuk berimaginasi atau apa sahaja bentuk fikir merupakan amanah Tuhan kepada manusia. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, apatah apabila dicurahkan dalam bentuk yang 'jamid' pasti akan dinilai oleh Allah. Malah, seorang manusia juga mampu menilai bagaimana seseorang yang lain berfikir melalui tulisan-tulisan yang dihasilkannya.


Kata Imam al-Ghazali, akal itu perlu berfungsi seperti buah kepada pokok, cahaya kepada matahari dan pandangan kepada mata.


Jika mahu menjadi seseorang, pastikan akalmu berfungsi dengan ilmu, dan ilmu perlu selalu berpaksikan wahyu. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...