Pages

Wednesday 9 November 2011

HAKIKAT SEBUAH LANDASAN

Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian , Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran. [103:1-3]

Tiada yang terindah dalam hidup ini jika kita benar-benar berada dalam kesyumulan Islam.

Keindahan yang membahagiakan itu tentulah apabila kita berada sepenuhnya dalam cara hidup Islam melalui semua sistem kehidupan, tanpa dipisah-pisah dan dijuzuk-juzukkan.

Matlamat hidupmu

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu. [51:56]

APAKAH YANG TELAH KITA LAKUKAN PADA HARI INI DAN SAAT INI????
APAKAH SEBENARNYA HAKIKAT HIDUP INI???
APAKAH KITA MASIH RAGU-RAGU AKAN KEBENARAN???

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Allah SWT dalam ayat ini menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Firman Allah:

"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah lagi :

"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Kebanyakan manusia itu diazab di neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT sedangkan kepercayaan itulah yang akan membersihkan jiwa mereka dari segala macam was-was dan kehinaan serta kerendahan. Kepercayaan inilah yang akan menanam keyakinan kepada diri mereka sendiri, dan menjadi benchmark kepada keutuhan peribadi dan sahsiah.

Kita juga melihat sekalian manusia yang mengaku beriman, tetapi sebenarnya lalai dan lupa dengan kepercayaan sepenuhnya pada hari Akhirat. Mereka hanya menggunakan akal untuk menanam saham dunia tanpa sedikit pun membaja benih akhirat dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya mengetahui yang zahir [saja] dari kehidupan dunia, sedang tentang [kehidupan] akhirat adalah lalai." [Ar Rum : 7]

Mereka tidak memahami bahawa tujuan hidup sebenar manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan melaburkan saham Akhirat sebanyak mungkin sebagai persediaan. Mereka tidak mengetahui bahawa tujuan Allah memerintahkan mereka menjauhi kemaksiatan dan dosa serta mendorong melakukan amal adalah untuk dua kebahagiaan - dunia dan akhirat. Mereka membutakan hati dan mata, memekakkan telinga dengan segala macam kebaikan dan petunjuk yang datang kepada mereka.

Firman Allah :

"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya."[Al-Ahqaf : 26]

Mereka tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mensia-siakan hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, kerana binatang tidak mempunyai akal dan upaya fikir untuk mengolah kesan penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang hanya mewujudkan persepsi atau reaksi terhadap dunia luar secara naluri dan bertujuan hanyalah untuk meneruskan hidup [survival]. Betapa hinanya manusia yang menjadi seperti binatang ini dan menjadi hamba kepada hawa nafsu, malah mereka lebih rendah nilai kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati.

Sempurnanya kita...
Segala kesulitan dan khilaf pasti ada penyelesaiannya...
Dan setiap kegembiraan itu membawa kepada kebahagiaan..,
TAPI bersyukurkah kita wahai hamba Allah???
Bersyukurkah kita???
Adakah kita ingat pada NYA???

Orang yang mengerjakan sesuatu untuk dunia hasilnya nampak, cepat dan boleh dikecapi hasilnya serta merta, tetapi orang yang mengerjakan sesuatu untuk Akhirat, hasilnya tidak nampak, lambat, tetapi dia hanya percaya dalam cinta. Dan percaya dalam cinta itulah iman.

Abdul Rahman bin Auf antara sahabat baginda s.a.w yang kaya dan telah menginfaqkan seluruh kekayaannya fisabilillah pada permulaan Islam. Dia seorang peniaga yang pintar memiliki harta yang banyak ketika di Madinah. Beliau merupakan antara sahabat nabi yang paling awal memeluk Islam dan salah seorang daripada sepuluh sahabat al-Mubasshirina bil Jannah.

Dia menangis suatu ketika, kemudian ditanya kenapa dia menangis, dan dia membandingkan dirinya dengan para sahabat yang syahid terlebih dahulu seperti Mus'ab bin Umair, yang dahulunya seorang anak yang disayangi ibunya, pakaiannya cantik dan mahal, baunya sentiasa harum semerbak dengan minyak wangi, tetapi dia meninggalkan segalanya itu demi Islam. Mus'ab meninggal dunia dalam keadaan tidak cukup kain untuk menutupi jenazahnya. Begitu juga dia membandingkan dirinya dengan Asadullah Saidina Hamzah, seorang pahlawan yang lebih mulia daripadanya, dan juga tidak cukup kain kafan saat kembalinya ke pangkuan Allah.

Dia bimbang jika dia termasuk di antara orang-orang yang dipercepatkan untuk menikmati kebahagiaan di dunia, lalu akan tersisih daripada para sahabat dan Rasulullah di Akhirat disebabkan kekayaan. Walaupun dia merupakan salah seorang para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w. Ketika dia bersedekah, dia menangis kerana mengingatkan Rasulullah s.a.w yang tidak pernah kenyang dengan roti dan gandum.

Kebimbangan dan keimanan seperti Abdul Rahman bin Auf inilah yang perlu ada dalam jiwa mereka yang ingin menjadi kaya. Tanpa menafikan sumbangan umat Islam yang memiliki jiwa seperti sahabat Rasulullah yang agung ini, tapi sekadar memberikan tazkirah, supaya kita sentiasa menjadikan dunia itu di tangan bukan di hati, menjadikan dunia dan segalanya itu hanya alat untuk menyemai benih-benih manfaat, menuju Akhirat sebagai matlamat. 

Penyesalan itu hakikatnya merupakan pintu kepada sebuah hidayah.Dambakan dan abdikanlah diri kepada yang berhak.Sesungguhnya keampunan Allah itu sangatlah luas kepada hambaNYA.

Hidup adalah anugerah

Kita sebagai umat Islam perlu percaya bahawa hidup ini adalah anugerah. Kita dipilih menerima anugerah yang bernama kehidupan. Anugerah pinjaman yang sebentar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk agama-Nya. Hidup untuk kita terus menebar manfaat dan kebaikan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah kepada orang lain.



Apabila kita faham bahawa hidup ini adalah suatu bentuk anugerah yang dipinjamkan, maka kita akan sentiasa yakin bahawa pada bila-bila masa anugerah ini akan diambil semula. Bukanlah bermakna apabila kita redha bahawa ketetapan ini adalah milik Allah dan Allah Maha Mengetahui rahsianya, maka kita menolak usaha, doa dan tawakkal.

Benar, kita perlu sentiasa berusaha menjadi Muslim yang baik, taat suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam doa dan tawakkal.
Apabila musibah datang menimpa, tragedi yang tidak diingini terjadi dengan tiba-tiba, maka laluilah dengan sabar, kerana sabar akan memupuk rasional, lantas akal akan menerjemah ketetapan Tuhan sebagai suatu kebaikan. Kita diuji sedemikian kerana Allah Maha Tahu, bahawa kita mampu menghadapinya.

"Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau imannya lemah dia diuji dengan itu (ringan) dan bila imannya kukuh dia diuji sesuai itu (keras). Seseorang diuji terus menerus sehingga ia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa."
(Riwayat Bukhari)
 
Susurilah hari-hari kita walau hati diipuk sedih, kerana itu fitrah manusia. Namun, zahirkan senyuman dan selitkan di hati di celah-celah kesedihan itu rasa bangga dan syukur, kerana kita sebenarnya telah dipilih Allah untuk menerima kebaikan.

"Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan baginya maka ia diuji (dengan musibah yang menimpanya)."
 (Riwayat Bukhari)


Berdoalah, supaya Allah akan mengurniakan kita kebaikan di dunia, kebahagiaan di Akhirat dan Dia pasti akan mengabulkan, meskipun bukan seperti yang kita mahukan. Dia pasti akan mengabulkan, atas kehendak-Nya, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat kita, hamba-hamba-Nya. 

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia bermohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah : 186)

Tiadalah lebih bermakna bagi seorang manusia dan hamba di sisi Allah, melainkan menjulang kejayaan di Akhirat kelak. Untuk berjaya di Akhirat, maka segalanya bermula semasa di dunia. Dan untuk berjaya, kita perlu selalu berubah, tingkatkan diri dengan adab dan akhlak.
Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...